Mercedes-Benz Malaysia bekerjasama dengan hotel, padang golf dan CPO perluas rangkaian pengecasan EV | DagangNews Skip to main content

Mercedes-Benz Malaysia bekerjasama dengan hotel, padang golf dan CPO perluas rangkaian pengecasan EV

Stesen pengecasan EV Mercedes-Benz di Saujana Golf & Country Club.
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 28 Nov - Mercedes-Benz Malaysia (MBM) menjalin kerjasama dengan beberapa hotel, padang golf dan pengendali titik pengecasan (CPO) untuk mengembangkan rangkaian pengecasan EV bagi pelanggan di negara ini.

 

Lokasi yang terlibat adalah Rasa Sayang oleh Shangri-La dan Marriott Hotel di Pulau Pinang, The RuMa Hotel & Residences dan Saujana Golf & Country Club di Kuala Lumpur, serta Anantara Desaru Coast Resort & Villas di Johor. 

 

Rakan CPO adalah EV Connection (JomCharge), ChargeEV dan Gentari.

 

merc

 

MBM berkata, pelanggan boleh menunjukkan kad atau aplikasi Mercedes-Benz mereka semasa daftar masuk di hotel-hotel rakan kongsi tersebut untuk menikmati pelbagai keistimewaan dan manfaat gaya hidup yang disesuaikan.

 

"Mercedes-Benz sentiasa berada di barisan hadapan dalam memacu masa depan pergerakan kenderaan dan kemewahan melalui kerjasama yang bermakna. 

 

"Dengan menyepadukan pergerakan elektrik ke dalam pengalaman gaya hidup mewah, kami sedang mendefinisikan semula erti menjadi pelanggan Mercedes-Benz," katanya dalam satu kenyataan.

 

me
Stesen pengecasan EV Mercedes-Benz di Anantara Desaru Coast Resort & Villas di Johor.

 

CEO dan Presiden MBM, Amanda Zhang menyifatkan, strategi jangka panjang syarikat bukan sahaja untuk menjadikan pemilikan EV lebih mudah diakses, tetapi juga untuk meningkatkan setiap titik sentuhan dalam perjalanan pelanggan melalui penyelesaian yang disesuaikan dan kerjasama yang bermakna yang menggambarkan komitmen terhadap kelestarian dan inovasi.

 

Pendekatan tiga cabang MBM untuk mengukuhkan infrastruktur EV adalah Charge@Home (wallbox), Charge@Retail (showroom/pusat servis) dan Charge@Public (hotel/resort/padang golf). 

 

Syarikat tersebut terus meneroka kerjasama berpotensi dengan lebih banyak hotel, padang golf dan pusat membeli-belah.

 

Naib Presiden Perkhidmatan Pelanggan MBM, Edmin Naidoo berkata, kerjasama berkenaan direka untuk memenuhi keperluan pelbagai pelanggan sambil menyokong peralihan Malaysia ke arah kelestarian.

 

merc
Stesen pengecasan EV Mercedes-Benz di Shangri-La's Rasa Sayang, Penang.

 

"Dengan mengembangkan ekosistem pengecasan EV dan menawarkan penyelesaian yang disesuaikan, kami sedang memenuhi trend dan jangkaan pelanggan masa kini dan selanjutnya meletakkan asas untuk masa depan yang lebih lestari dan berfokuskan pelanggan," ujarnya.

 

Mercedes-Benz kini memiliki jumlah model BEV yang paling banyak dijual di Malaysia iaitu EQA, EQB, EQC, EQE (sedan, SUV dan sedan AMG) dan EQS (sedan, SUV dan sedan AMG). - DagangNews.com