Bidaan bagi pembangunan sistem storan tenaga bateri di Semenanjung dibuka 29 Nov 2024 - Petra | DagangNews Skip to main content

Bidaan bagi pembangunan sistem storan tenaga bateri di Semenanjung dibuka 29 Nov 2024 - Petra

Oleh Mohamad Iman

PUTRAJAYA 28 Nov - Bidaan bagi pembangunan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) untuk sistem bekalan elektrik di Semenanjung Malaysia akan dibuka pada Jumaat, menurut Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra).

 

Petra berkata pembangunan sulung BESS akan menawarkan kapasiti berjumlah 400 megawatt (MW) dan 1,600 megawatt-jam (MWj).

 

Pembangunan BESS akan dibahagikan kepada empat projek berasingan, masing-masing berkapasiti 100MW/400MWj, dan dijangka mencapai tarikh operasi komersial mulai 2026.

 

“Kaedah perolehan bidaan terbuka ini memastikan proses kelulusan yang telus dan terbuka untuk pemaju yang berkelayakan, membolehkan tarif paling kompetitif dan memaksimumkan faedah kepada sistem bekalan elektrik pada kos paling optimum,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut Petra, proses bidaan akan dijalankan dalam dua peringkat iaitu bermula dengan fasa Request for Qualification (RFQ) diikuti proses bidaan melalui Request for Proposal (RFP).

 

Fasa RFQ akan berlangsung dari 29 November hingga 13 Disember 2024.

 

“Proses RFQ ini berfungsi sebagai saringan awal untuk mengumpulkan maklumat tentang kelayakan dan keupayaan pemaju yang berminat, sebelum menyenarai pendek mereka untuk mengambil bahagian dalam proses pembidaan semasa peringkat RFP,” tambahnya.

 

Butiran mengenai kaedah dan proses pembidaan boleh didapati di laman web Suruhanjaya Tenaga di www.st.gov.my mulai Jumaat.

 

Pembangunan BESS dijangka mewujudkan peluang ekonomi baharu dengan anggaran nilai pelaburan RM2.8 bilion.

 

Petra melahirkan keyakinan bahawa inisiatif itu akan mengukuhkan daya tahan dan fleksibiliti sistem grid Semenanjung Malaysia, membolehkannya menampung kapasiti yang lebih besar untuk tenaga boleh diperbaharui (RE) dalam bekalan elektrik.

 

Inisiatif ini juga menyokong komitmen kerajaan untuk mengurangkan jejak karbon sektor bekalan elektrik negara, sejajar dengan aspirasi peralihan tenaga negara untuk meningkatkan bahagian RE dalam campuran tenaga kepada 70% menjelang 2050. - DagangNews.com