Carlo Rino sasar kumpul RM46.4 juta daripada pemindahan penyenaraian ke Pasaran ACE | DagangNews Skip to main content

Carlo Rino sasar kumpul RM46.4 juta daripada pemindahan penyenaraian ke Pasaran ACE

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Nov - Carlo Rino Group Berhad, pereka fesyen wanita menyasarkan untuk mengumpul RM46.4 juta daripada pemindahan penyenaraian ke Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 18 Disember 2024.

 

Kumpulan itu berkata, pelaksanaan pemindahan itu melibatkan terbitan awam sebanyak 171.86 juta saham biasa baharu pada harga 27 sen sesaham.

 

Ia adala berdasarkan modal saham kumpulan yang diperbesarkan sebanyak 977,517,100 saham dan harga IPO tersebut, permodalan pasaran Carlo Rino akan menjadi kira-kira RM263.93 juta selepas pemindahan penyenaraiannya.

 

Hasil yang diperoleh daripada IPO diperuntukan bagi membiayai pengembangan perniagaannya dan kumpulan itu memperuntukkan 32.3% daripada hasil untuk membiayai sebahagian daripada pembinaan serta pemasangan butik perdana baharu di Jalan Imbi, Kuala Lumpur dan kemudahan lain.

 

Sejumlah 7.54% untuk pengubahsuaian butik, 1.08% untuk penyelenggaraan infrastruktur IT dan hasil selebihnya akan digunakan untuk keperluan modal kerja kumpulan dan perbelanjaan berkaitan IPO.

 

Pengarah Urusan Carlo Rino, Datuk Seri Chiang Fong Yee berkata, dana yang dikumpul daripada IPO ini secara langsung akan menyokong pengembangan dan peningkatan perniagaan kami, termasuk pembinaan butik perdana baharu, pengubahsuaian butik dan kaunter gedung jabatan, dan peningkatan infrastruktur IT.

 

"Kami percaya pelaburan ini akan membolehkan kami memenuhi permintaan pelanggan yang berkembang dan menyampaikan perkhidmatan berkualiti tinggi kepada pelanggan, selain memastikan Carlo Rino kekal sebagai jenama yang dipercayai dan inovatif dalam landskap fesyen yang sentiasa berubah. 

 

"IPO ini adalah bukti kekuatan dan keupayaan kumpulan untuk berkembang dan kekal relevan dan berdaya saing, khususnya di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Bersempena pelancaran prospektus IPO, tempoh permohonan akan bermula hari ini dan ditutup pada 5 Disember 2024, pada pukul 5 petang.

 

TA Securities Holdings Berhad merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan untuk IPO.- DagangNews.com