MBAM puji tindakan CIDB tarik balik Buku Panduan Kualiti untuk Pemilik Rumah | DagangNews Skip to main content

MBAM puji tindakan CIDB tarik balik Buku Panduan Kualiti untuk Pemilik Rumah

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 15 Nov - Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) memuji tindakan CIDB Malaysia atas penarikan Buku Panduan Kualiti untuk Pemilik Rumah yang diterbitkan pada tahun 2014. 

 

Presiden MBAM, Oliver Wee Hiang Chyn berkata, walaupun buku panduan itu pada awalnya diterbitkan dengan tujuan mendidik pemilik rumah mengenai kualiti kerja dalam pembinaan, tidak dapat dinafikan ia banyak disalah tafsir atau disalahgunakan.

 

Beliau menjelaskan, ia berikutan buku berkenaan antaranya menyenaraikan spesifikasi kecacatan, yang mengakibatkan pemaju meminta kontraktor untuk membetulkan dan menanggung semua kos pembaikan.

 

"Terdapat kes di mana pemeriksa bangunan memberikan nasihat yang salah kepada pembeli rumah dengan bergantung kepada penanda aras yang tidak sesuai seperti Sistem Penilaian Kualiti bagi Kerja Pembinaan (QLASSIC). 

 

"Sedangkan ia adalah kaedah untuk menilai kualiti kerja sesuatu pembangunan perumahan melalui penilaian kualiti yang dilakukan secara pengambilan rawak, yang seharusnya tidak digunakan untuk perumahan unit tunggal," katanya dalam satu kenyataan.

 

Hiang Chyn menambah, pihaknya faham bahawa telah menjadi kebiasaan bagi pembeli rumah untuk mengupah pemeriksa bangunan sebaik sahaja mereka mengambil pemilikan kosong hartanah mereka bagi mencari kelemahan yang sering dipersalahkan kepada kontraktor. 

 

CIDB pada Khamis dalam satu kenyataan memaklumkan, buku panduan tersebut telah disalah tafsir sebagai spesifikasi kecacatan dan mengakibatkan kekeliruan. 

 

Justeru, jelas CIDB, mana-mana salinan atau petikan daripada buku panduan tersebut tidak lagi boleh digunakan dan menjadi tidak sah.

 

"CIDB menerbitkan buku tersebut untuk meningkatkan kesedaran pemilik rumah mengenai kualiti hasil kerja binaan dalam pembinaan bangunan. 

 

"Namun begitu, ia telah disalah tafsir sebagai spesifikasi kecacatan dan mengakibatkan kekeliruan. Bagi mengelak salah faham berterusan, CIDB mengambil keputusan untuk menarik balik buku berkenaan berkuat kuasa serta," jelasnya. - DagangNews.com