PUTRAJAYA 21 Okt – Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) terus menerajui pembangunan Mersing dan Segamat menjadi hab utama pengeluaran makanan, sekali gus memperkasakan Johor sebagai penyumbang utama kepada pertumbuhan pertanian dan keterjaminan makanan Malaysia.
ECERDC turut komited dalam memacu potensi daerah Mersing dan Segamat melalui projek strategik dan pelaburan dalam sektor pertanian perikanan dan pengeluaran tenusu yang akan memperkukuhkan lagi peranan Johor dalam menyokong rantaian bekalan makanan negara.
Semasa Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) Johor, ECERDC telah membentangkan Pelan Pembangunan ECER di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi tahun 2026 hingga 2030, meletakkan Mersing dan Segamat sebagai penyumbang penting kepada inisiatif Bakul Makanan Malaysia.
Dengan projek seperti Lembah Tenusu Jemaluang (JDV) dan Taman Pemprosesan Ikan Endau Mersing (EMFPP), Mersing dijangka menjadi hab utama industri tenusu dan perikanan, manakala Segamat akan memberi tumpuan kepada pertanian mampan dan industri hijau.
Inisiatif-inisiatif itu akan meningkatkan sumbangan Johor kepada bekalan makanan negara dan menjana peluang pekerjaan di daerah Mersing dan Segamat.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, melalui kerjasama strategik antara kerajaan negeri dan ECERDC, beliau mahu memanfaatkan kelebihan semula jadi Mersing dan Segamat untuk menjadikan Johor sebagai hab pengeluaran makanan yang penting, seterusnya menyumbang secara langsung kepada keterjaminan makanan negara.
"Kerjasama ini akan mencipta peluang pekerjaan dan memacu pertumbuhan sektor pertanian, sekali gus mengukuhkan peranan Johor sebagai pemain utama dalam pembangunan negara," katanya dalam satu kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Baidzawi Che Mat berkata, pihaknya komited untuk memacu pertumbuhan Mersing dan Segamat sebagai penyumbang utama kepada sektor pengeluaran makanan Malaysia.
Bagi tahun 2024 hingga September, ECERDC telah berjaya menarik pelaburan yang signifikan untuk EMFPP, dengan tumpuan kepada pemprosesan ikan sejuk beku, penyimpanan sejuk dan pengeluaran ais kiub.
Projek-projek itu dijangka mewujudkan peluang pekerjaan serta memperkukuhkan aktiviti hiliran oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS), seiring dengan agenda keterjaminan makanan negeri Johor.
ECERDC turut menerajui Pembangunan JDV di Mersing, sebuah projek perniagaan tani utama yang bakal siap menjelang September 2025.
Inisiatif berkenaan, sebahagian daripada agrofood@ECER, dijangka menarik RM80 juta dalam pelaburan swasta dalam tempoh lima tahun, dengan rancangan untuk menempatkan 3,200 lembu tenusu dan menghasilkan 7.1 juta liter susu setiap tahun.
Projek terbabit akan meningkatkan sektor tenusu Johor, menyumbang kepada keterjaminan makanan negara, dan memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk susu segar di pasaran tempatan.
Segamat memainkan peranan penting dalam transformasi pertanian ECERDC melalui inisiatif Fertigasi Cili IPR-INTAN, yang kini meliputi 32 hektar di tiga lokasi, yang menyediakan pendapatan yang mampan untuk komuniti B40 dan mempromosikan teknologi pertanian moden.
Kerjasama ECERDC dengan operator induk dan pihak berkuasa tempatan di bawah model Ladang Kontrak Berkelompok telah meningkatkan produktiviti, dengan 16,800 pokok cili berjaya dituai pada Ogos 2024, serta membuka peluang pekerjaan untuk golongan B40, di mana peserta boleh terus bekerja dengan operator induk atau menjadi usahawan tani.
Ahli-Ahli Jawatankuasa ICC Johor turut diberi taklimat mengenai kemajuan projek jalan masuk ke Taman Negara Johor Endau Rompin (TNJER), yang dijadualkan siap pada Oktober 2025 dan akan mempermudahkan akses ke Rainforest Discovery Centre Peta, seterusnya meningkatkan sektor eko-pelancongan di TNJER.
ECERDC juga membentangkan inisiatif pelancongan berterusan di Mersing, termasuk Pelan Induk Strategik untuk Pembangunan Pulau membabitkan pembangunan enam pulau utama iaitu Pulau Pemanggil, Pulau Rawa, Pulau Besar, Pulau Aur, Pulau Tinggi dan Pulau Sibu yang dijangka siap pada April 2025. - DagangNews.com