Meta Bright peroleh RM43.9 juta kemudahan perbankan, pacu pertumbuhan segmen konkrit | DagangNews Skip to main content

Meta Bright peroleh RM43.9 juta kemudahan perbankan, pacu pertumbuhan segmen konkrit

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Okt - Meta Bright Group Bhd menerusi Expogaya Sdn Bhd dan Jesselton Concrete Sdn Bhd berjaya memperoleh kemudahan perbankan berjumlah RM43.85 juta daripada Hong Leong Bank Bhd bagi mengembangkan pertumbuhan perniagaan konkrit syarikat itu. 

 

Kumpulan itu berkata, kemudahan baharu dan lanjutan itu akan mengukuhkan lagi kedudukan mereka dalam segmen konkrit sebagai pembekal campuran siap terbesar di Sabah sambil menyokong keperluan infrastruktur negeri yang berkembang pesat dengan berkesan.

 

Kemudahan itu dijangka memacu skala operasi untuk kedua-duaanak yarikatnya, memudahkan perolehan jentera canggih, memastikan modal kerja yang konsisten, dan menyokong pengembangan projek untuk memenuhi permintaan Sabah yang semakin meningkat untuk bahan binaan.

 

Pengarah Eksekutif Korporat dan Perancangan Strategik Kumpulan Meta Bright, Derek Phang Kiew Lim berkata, kejayaan mendapatkan kemudahan itu mencerminkan sokongan daripada Hong Leong Bank, keyakinan komuniti kewangan terhadap trajektori pertumbuhan serta daya tahan operasi mereka.

 

Beliau berkata, sokongan kewangan tambahan itu membolehkan mereka memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk konkrit di Sabah, didorong oleh projek infrastruktur berskala besar yang digariskan dalam Belanjawan 2025.

 

"Dengan kemudahan ini, kami bersedia untuk mengukuhkan peranan kami sebagai pembekal konkrit utama rantau ini, menyediakan bahan-bahan penting untuk pembangunan Sabah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Kemudahan perbankan sebanyak RM30.85 juta yang diperuntukan kepada Expogaya terdiri daripada kemudahan sewa beli industri RM5 juta, kemudahan kontrak pertukaran hadapan RM2.5 juta dan RM23.35 juta dalam pelbagai kemudahan perbankan

 

Sementara itu, Jesselton Concrete memperoleh kemudahan sewa beli industri RM1 juta dan RM12 juta dalam pelbagai kemudahan kredit daripada Hong Leong Bank. - DagangNews.com