MIDF Research jangka hasil Datasonic meningkat pada suku akan datang didorong pelbagai aliran pendapatan  | DagangNews Skip to main content

MIDF Research jangka hasil Datasonic meningkat pada suku akan datang didorong pelbagai aliran pendapatan 

Melangkah ke hadapan, MIDF Research menjangkakan hasil 2HFY25 lebih kukuh, diterajui oleh pelbagai projek. Gambar hiasan dari Facebook Datasonic
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 29 Nov - Hasil Datasonic Group Bhd dijangka meningkat pada suku berikutnya didorong oleh usaha aktif kumpulan untuk mempelbagaikan aliran pendapatan, kata MIDF Research.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan peningkatan hasil kumpulan dibantu oleh pengeluaran i-Kad lebih tinggi, pengiktirafan e-pasport ke negara Afrika Barat, perkhidmatan pembekalan dan percetakan kategori khas lesen memandu. 

 

Katanya, prestasi kewangan 1HFY25 Datasonic sejajar dengan jangkaannya, mewakili 45.1% daripada anggaran pendapatan tahun penuh FY25. 

 

Datasonic mencatat keputusan kewangan 2QFY25 yang lebih lemah akibat permintaan produk dan perkhidmatannya yang lebih rendah.

 

Walau bagaimanapun, prestasi kewangan 1HFY25 kekal kukuh berdasarkan hasil yang berdaya tahan disokong oleh kos operasi yang lebih rendah.

 

"Hasil 1HFY25 Datasonic meningkat sebanyak 22.7% YoY kepada RM44 juta.

 

"Pada tempoh itu, hasil kumpulan kekal berdaya tahan pada RM171.8 juta didorong oleh penurunan kos operasi," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.

 

Melangkah ke hadapan, MIDF Research menjangkakan hasil 2HFY25 lebih kukuh, diterajui oleh pelbagai projek.

 

"Antaranya penghantaran e-pasport ke negara Afrika Barat yang menunjukkan komitmen kumpulan untuk mempelbagaikan aliran pendapatan," katanya.

 

Sementara itu, MIDF Research mengekalkan saranan "beli" ke atas Datasonic dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada 58 sen.- DagangNews.com