Mindef buka tender bekal 1,300 peluru Carl Gustaf M4 bagi Tentera Darat | DagangNews Skip to main content

Mindef buka tender bekal 1,300 peluru Carl Gustaf M4 bagi Tentera Darat

Carl Gustaf M4 menjadi senjata antiarmor baharu Tentera Darat.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 3 Okt - Kementerian Pertahanan (Mindef) telah mengeluarkan tender kepada syarikat berkelayakan untuk membekal peluru bagi senjata antiarmor baharu Tentera Darat, Carl Gustaf 84mm M4 buatan Sweden.

 

Carl Gustaf 84mm merupakan senjata antiarmor pelbagai fungsi yang mana varian M4 merupakan generasi terkini dan lebih baik.

 

Tentera Darat telah membeli sebanyak 110 pelancar Carl Gustaf 84mm M4 tahun lalu membabitkan kos sebanyak RM27 juta daripada syarikat tempatan, Global Combined Technology Sdn. Bhd. 

 

 

Ia digunakan sebagai senjata bantuan untuk batalion infantri.

 

Meriam
Carl Gustaf 84mm M4 dilengkapi dengan sistem pejera pintar.

 

Bahagian Perolehan Mindef menawarkan tender membekal 1,300 butir peluru jenis letupan kuat (HE), bagaimana pun nilai sebenar kontrak tidak dimaklumkan.

 

Berdasarkan spesifikasi yang dinyatakan, peluru HE tersebut hendaklah berupaya menyebabkan kecederaan pada musuh di kawasan terbuka, kawasan terlindung dan boleh merosakkan kenderaan perisai.

 

Peluru HE juga hendaklah mampu memusnahkan sasaran menggunakan kaedah letupan di udara atau ditetapkan untuk hentaman ke sasaran.

 

Spesifikasi peluru HE ini mestilah boleh digunakan pada senjata Carl Gustaf M4 ‘Recoilless Anti-Tank Rifle’.

 

Ini merupakan pembelian lanjutan kerana pada Ogos lepas Mindef telah mengeluarkan tender bagi membekal peluru jenis letupan kuat antikereta kebal (HEAT).

 

Meriam
Sebahagian daripada jenis-jenis peluru yang digunakan Carl Gustaf M4.

 

Meriam

 

Menerusi tender tersebut, sebanyak 2,000 butir peluru HEAT untuk senjata Carl Gustaf 84mm M4 ditawarkan kepada syarikat berkelayakan dengan nilainya kira-kira RM29 juta.

 

Dipercayai lebih banyak tender untuk membekalkan peluru Carl Gustaf 84mm M4 ditawarkan Mindef pada masa hadapan kerana senjata ini mempunyai 10 jenis peluru yang berbeza mengikut kesesuaian operasi.

 

Carl Gustav merupakan senjata antiarmor yang terbaik selain beroperasi secara tembakan tanpa anjal (recoilles) menyaksikan ia digunakan lebih 50 pasukan tentera di dunia.

 

Pemilihan Carl Gustav M4 untuk Tentera Darat bagi menggantikan senjata versi terdahulu iaitu Carl Gustav M2 yang digunakan sejak tahun 1970an.

 

Meriam
Anggota Tentera Darat semasa berlatih mengendalikan Carl Gustaf 84mm M2.

 

Meriam
Saiz lebih kompak dan ringan menjadikan Carl Gustaf M4 sangat fleksibel.

 

Kelebihan Carl Gustav ialah ia boleh menggunakan peluru yang berbeza antaranya jenis letupan kuat, letupan kuat antikereta kebal, bom asap, peluru suaran dan pelu

 

Varian M4 bersaiz 1 meter lebih pendek berbanding M2, manakala beratnya cuma 7 kilogram (kg) berbeza dengan M2 (15kg).

 

Saiznya yang kompak dengan badan senjata diperbuat daripada fiber karbon menjadikan ia lebih fleksibel dan sangat menepati dengan keperluan operasi medan tempur hari ini.

 

Meriam

 

Ia dilengkapi dengan sistem pejera pintar seperti pejera optik berteknologi tinggi, laser penjejak sasaran dan optik pandang malam sebagai aksesori tambahan.

 

Tembakan Carl Gustaf 84mm M4 boleh mengenai sasaran antara 400 meter (m) hingga 1,000m sama ada untuk memusnahkan kereta kebal, sasaran statik atau kubu bergantung pada jenis peluru. - DagangNews.com