MK Ambulance Service lancar perkhidmatan ambulans bermotosikal pertama di Perak | DagangNews Skip to main content

MK Ambulance Service lancar perkhidmatan ambulans bermotosikal pertama di Perak

MK Ambulance menyediakan perkhidmatan ambulans bermotosikal pertama di Perak.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 3 Nov - Syarikat penyedia perkhidmatan kesihatan, MK Ambulance Service yang merupakan anak syarikat kepada My Healthcare Services Sdn. Bhd. (My Healthcare Services) memperkenalkan khidmat terbaharunya iaitu unit ambulans bermotosikal (M-Bike).

 

Ini juga merupakan perkhidmatan ambulans bermotosikal pertama seumpamanya di Perak dan ditawarkan oleh syarikat swasta.

 

Perkhidmatan tersebut melengkapkan khidmat 12 buah ambulans sedia ada syarikat yang juga mempunyai cawangan di Golden Hills, Cameron Highlands.

 

Pengasas dan Pengarah My Healthcare Services, Mazhar Kadir berkata, pihaknya menyediakan 2 buah motosikal iaitu sebuah skuter jenis Husky dan motosikal Kawasaki Ninja.

 

Perak

 

“Perkhidmatan M-Bike melibatkan pelaburan syarikat kira-kira RM70,000 bagi membeli 2 motosikal beserta kelengkapan.

 

“Kos bagi motosikal adalah sebanyak RM58,000 manakala selebihnya bagi alat-alat perubatan yang dibekalkan pada setiap motosikal.

 

“Dengan M-Bike pasukan perkhidmatan MK Ambulans dapat menambah baik rawatan kecemasan dan menyediakan bantuan perubatan yang lebih pantas,” ujarnya kepada Dagang News.

 

Justeru, unit ambulans bermotosikal ini yang dikendalikan masing-masing seorang jururawat dan pembantu kesihatan bertindak sebagai barisan kecemasan hadapan.

 

Perak
Mazhar (kiri) bersama Ahli Majlis Bandaraya Ipoh, Datuk Mazlan Abd Rahman (tengah) semasa melancarkan perkhidmatan unit ambulans bermotosikal MK Ambulance.

 

 

Perak
Sebahagian daripada 12 buah ambulans sedia ada MK Ambulance.

 

Mereka terlatih bagi memberi rawatan kecemasan dan bantuan sebelum ketibaan ambulans.

 

Setiap motosikal dibekalkan dengan gas oksigen serta kelengkapan asas seperti pada ambulans.

 

Caj yang dikenakan bagi perkhidmatan ini adalah RM50 bagi setiap panggilan, manakala kos selanjutnya bergantung kepada jenis rawatan yang diberi.

 

Mengulas lanjut kata Mazhar, perkhidmatan M-Bike ini turut ditawarkan kepada hospital kerajaan bagi memberikan bantuan kecemasan awal.

 

 

Perak
MK Ambulance menyediakan perkhidmatan kesihatan dan rawatan termasuk dalam acara-acara sukan di negeri Perak.

 

 

“Kita ada menerima permintaan daripada pihak hospital kerajaan untuk perkhidmatan M-Bike terutama bagi kes-kes kecemasan.

 

“Bagi perancangan seterusnya kita juga berhasrat menjalinkan kerjasama dengan pihak-pihak hospital termasuk swasta untuk menawarkan perkhidmatan ini,” ujarnya. - DagangNews.com