MMAG, Unilode Aviation jalin kerjasama tingkatkan keupayaan operasi kargo udara | DagangNews Skip to main content

MMAG, Unilode Aviation jalin kerjasama tingkatkan keupayaan operasi kargo udara

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Okt - MMAG Holdings Berhad menerusi MMAG Aviation Consortium Sdn Bhd (MAC) menjalinkan kerjasama strategik dengan Unilode Aviation Solutions, peneraju global dalam pengurusan peranti muatan unit (ULD).

 

Kerjasama berkenaan bertujuan untuk mempertingkatkan keupayaan operasi kargo udara MAC dan membuka peluang kolaborasi lebih luas, termasuk cadangan penubuhan pusat pengurusan ULD di Terminal Kargo Xpress (XCT) milik MAC.

 

Kumpulan itu berkata, kerjasama itu bermula dengan Unilode menyediakan pengurusan ULD kepada MJets Air Sdn Bhd (MJets), unit kargo udara komersial di bawah MAC. 

 

Kemudiannya, MJets akan memperoleh akses kepada rangkaian ULD Unilode dan ia merupakan akses terbesar dunia, dengan lebih 172,000 ULD. 

 

Unilode juga akan menyediakan pengurusan ULD, perancangan, dan akses ke pusat pembaikan ULD di lebih 50 lapangan terbang global serta suite perkhidmatan digital ULD miliknya. 

 

MAC dan Unilode sedang meneroka penubuhan pusat pengurusan ULD khusus di XCT Aviation. Pusat tersebut berpotensi mengembangkan keupayaan mereka bagi menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan dari seluruh rantau ASEAN. 

 

Pengerusi MAC, Woo Kam Weng berkata, kerjasama itu merupakan adalah langkah transformatif untuk kumpulan itu dan meletakkan mereka di barisan hadapan dalam industry penerbangan di Asia Tenggara. 

 

Beliau berkata, dengan memanfaatkan kepakaran Unilode dalam pengurusan ULD, pihaknya bukan sahaja dapat mengoptimumkan operasi tetapi juga meningkatkan tawaran perkhidmatan bagi memenuhi keperluan pasaran yang dinamik.

 

"Kerjasama strategik MMAG dengan Menzies Aviation memperkukuh keupayaan pengendalian darat kami dan menunjukkan komitmen bagi menyediakan rumusan penerbangan yang komprehensif. 

 

"Rangkaian kami juga diperkukuh oleh kerjasama "interline" dengan syarikat penerbangan terkemuka seperti MASkargo, Teleport, China Southern Airlines, dan ANA. Kerjasama ini membolehkan kami menawarkan sambungan perkhidmatan yang meluas dan sinergi operasi di seluruh pasaran global," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Unilode, Ross Marino berkata, pihaknya yakin rumusan dan kepakaran pengurusan ULD mereka akan memberikan nilai kepada MAC dan menyokong rancangan pertumbuhannya. 

 

Beliau berkata, pada masa ini, terdapat tumpuan yang kuat bagi mengoptimumkan penggunaan ULD dalam menghasilkan kecekapan kos dan pengurangan pelepasan karbon. 

 

"MJets juga akan mempunyai akses kepada platform digital kami dan suite perkhidmatannya, seperti Portal Pelanggan dan APP e-ULD.
 

"Kerjasama kami dengan MJets Air akan mengukuhkan kehadiran kami di Kuala Lumpur dan pasaran yang semakin berkembang di Asia Tenggara," katanya. - DagangNews.com