KUALA LUMPUR 3 Jan - Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) menjangkakan prestasi lebih kukuh dalam segmen perladangan bagi tahun kewangan 2025, disokong oleh harga minyak sawit mentah (MSM) yang lebih tinggi.
Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Lee Oi Hian berkata, syarikat optimis dengan prospek segmen perladangan, yang terus menjadi pemacu utama prestasi kumpulan, berikutan peningkatan harga MSM dan tandan sawit, serta hasil tandan buah segar (BTS) yang semakin baik.
Beliau juga berkata, untuk segmen pembuatan, kumpulan menjangkakan hasil yang lebih baik daripada subsegmen oleokimia, manakala subsegmen kimia industri dijangka kekal mencabar pada tahun kewangan 2025 disebabkan persaingan harga yang berterusan.
KLK turut mencatatkan kejayaan dalam usaha penggantian elektroliser lama di tiga loji klor-alkali mereka dengan model yang lebih baharu, yang diharapkan dapat mengurangkan kos elektrik.
"Walaupun prestasi KLK menunjukkan kemerosotan keuntungan pada tahun kewangan 2024, iaitu sekitar RM591 juta berbanding RM834.3 juta pada 2023, kumpulan tetap optimis dengan langkah-langkah proaktif yang diambil untuk mengatasi cabaran dalam segmen pembuatan, terutamanya berikutan tekanan margin dan gangguan dalam industri penapisan," katanya dalam satu kenyataan.
Pada 2024, sektor minyak sawit mendapat manfaat daripada harga MSM yang kukuh, berikutan kekangan bekalan dan mandat biodiesel Indonesia, walaupun terdapat stok kacang soya yang banyak.
Walaupun harga MSM mencecah paras tertinggi RM5,000 setiap tan, sektor itu tidak terlepas daripada ketidaktentuan akibat inflasi yang meningkat, gangguan rantaian bekalan dan turun naik harga komoditi.
Selain itu, corak cuaca yang tidak menentu dan perubahan keadaan perdagangan terus memberi impak kepada landskap pasaran secara keseluruhan.
Oi Hian pada masa sama berkata, terdapat kerugian bukan berulang dalam beberapa unit yang memberi kesan kepada keputusan keseluruhan kumpulan, tetapi langkah proaktif telah diambil untuk mengatasi cabaran tersebut.
"Ketika kami menangani cabaran masih wujud, kami kekal yakin dengan kemampuan kami untuk mengharungi landskap yang berubah dan membina kekuatan teras kami untuk pertumbuhan jangka panjang," jelasnya.
Berkaitan pengembangan kumpulan, beliau berkata, syarikat memperoleh pegangan 92% dalam PT Satu Sembilan Delapan daripada pemegang saham utama mereka, Batu Kawan Bhd.
"Perolehan ini dijangka menyediakan sumber bahan mentah yang boleh dipercayai untuk penapisan dan kompleks oleokimia KLK yang akan datang di Kalimantan Timur," ujarnya.
Selain itu, anak syarikat milik penuh KLK, KLK Land Sdn Bhd, memperoleh baki 40% pegangan dalam Aura Muhibah Sdn Bhd (AMSB), memberi KLK pemilikan penuh AMSB. - DagangNews.com