MyKad untuk pengesahan kelayakan subsidi RON95, keluarga B60 mungkin guna kenderaan orang lain - Rafizi | DagangNews Skip to main content

MyKad untuk pengesahan kelayakan subsidi RON95, keluarga B60 mungkin guna kenderaan orang lain - Rafizi

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 12 Nov - Kaedah mengenakan pembayaran levi berdasarkan pemilikan kenderaan dikhuatiri akan menimbulkan risiko keciciran penyasaran subsidi RON95 yang lebih besar terhadap golongan terlibat, kata Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli.

 

Beliau berkata, ia kerana berdasarkan Pangkalan Data Pusat (Padu) yang mengandungi profil warganegara Malaysia dan penduduk tetap, kira-kira 40% keluarga dalam kumpulan pendapatan 60% terendah (B60) tidak mempunyai pendaftaran pemilikan kenderaan kerana mungkin menggunakan kenderaan orang lain.

 

"Jadi di sini kita mempunyai masalah. Walaupun ada cadangan menggunakan pendaftaran kenderaan adalah lebih baik, realitinya keluarga berpendapatan rendah mungkin menggunakan kenderaan atas nama orang lain.

 

 

"Kita juga menghadapi isu ini semasa pelaksanaan subsidi diesel. Berdasarkan data awal ada ketidakpadanan yang besar, contohnya mereka sambung bayar kenderaan atau menggunakan nama individu lain," katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Selasa.

 

Beliau menjawab soalan tambahan daripada Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) mengenai pandangan kerajaan tentang menggunakan kaedah levi petrol semasa pembaharuan cukai jalan bagi memastikan operasi yang lebih lancar di stesen petrol, berbanding menggunakan kad pengenalan untuk pengesahan kelayakan subsidi.

 

Rafizi menyatakan, kerajaan menyedari tiada kaedah yang sempurna untuk melaksanakan rasionalisasi subsidi petrol RON95, kerana setiap cadangan mempunyai risiko operasi, kos dan penipuan.

 

Sementara itu, beliau juga memaklumkan, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan sedang mempertimbangkan penggunaan kad pengenalan dan e-dompet dalam pelaksanaan penyasaran subsidi minyak RON95 di stesen-stesen minyak di seluruh negara.

 

Pengesahan kelayakan seseorang penerima subsidi itu mengambil kira kedudukan sosio ekonomi isi rumah perlu dilakukan sebelum pembelian RON95 dibuat.

 

"Penentukan kelayakan dibangunkan oleh Kementerian Ekonomi dan pelaksanaan mekanisme pembelian RON95 menggunakan dua harga di stesen minyak, akan dibangunkan oleh Kementerian Kewangan.

 

"Kriteria dan mekanisme akhir akan dibentangkan kepada jemaah menteri selaras dengan garis masa pelaksanaan iaitu menjelang pertengahan 2025," jelasnya. - DagangNews.com