Nafas berantakan, perlembagaan digantung serta-merta oleh Ketua Pengarah | DagangNews Skip to main content

Nafas berantakan, perlembagaan digantung serta-merta oleh Ketua Pengarah

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 1 Nov - Perlembagaan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) digantung berkuat kuasa Jumaat, bagi menambah baik tatakelola dan tadbir urus pertubuhan itu susulan konflik dalaman dan ketidakharmonian yang menjejaskan operasi dan fungsi pertubuhan tersebut.

 

Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Amir Matamin berkata, selaku Pendaftar Pertubuhan Peladang, beliau mengeluarkan arahan itu di bawah Seksyen 20 (1) Akta Pertubuhan Peladang 1973 (Akta 109).

 

Katanya, dengan perintah yang dikuat kuasakan pada Jumaat, Nafas mempunyai hak selaras dengan Seksyen 21 Akta Pertubuhan Peladang untuk merayu kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu dalam tempoh 30 hari daripada tarikh berkenaan.

 

"Keputusan menteri adalah muktamad dan tidak boleh dirayu atau dipersoalkan di mana-mana mahkamah," katanya pada sidang media Reformasi Tatakelola Nafas yang turut dihadiri Pengerusi LPP, Datuk Mahfuz Omar.

 

Jelas Amir, semasa tempoh penggantungan, Nafas akan diurus dan ditadbir oleh pentadbir-pentadbir yang dilantik oleh beliau, namun katanya, pertubuhan terbabit masih terus beroperasi seperti biasa dengan kakitangan dan pegawai sedia ada di bawah arahan pentadbir.

 

Pada masa yang sama, beliau akan terus memantau tindakan-tindakan yang akan dilaksanakan dengan memfokus kepada pemulihan semula pertubuhan berkenaan, selaras dengan objektif memperkasakan semua tatakelola dan tadbir urus yang baik untuk kepentingan peladang-peladang.

 

Sementara itu, Mahfuz berkata, Mohamad telah mengeluarkan arahan untuk memperbaiki tatakelola dan tadbir urus Nafas selama sembilan bulan sejak 7 Februari 2024 yang berakhir pada Khamis.

 

"Sepanjang tempoh itu, Nafas diarahkan untuk menambah baik sistem tatakelola dan mematuhi arahan-arahan yang dikeluarkan oleh pendaftar, bagaimanapun banyak isu berbangkit timbul yang menjurus kepada konflik dan ketidakharmonian dalaman di antara Jemaah Pengarah Nafas dengan Pengurusan Eksekutif Nafas," katanya.

 

Beliau berkata, isu itu telah menjejaskan operasi dan matlamat Nafas sehingga kepentingan am peladang juga terjejas.

 

Ditanya mengenai siasatan penyelewengan dan ketirisan projek pembekalan baja padi, Amir berkata, pihaknya menyerahkan perkara itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

 

"Kita tiada maklumat. SPRM belum buat apa-apa laporan kepada pendaftar. Pendaftar akan membuat siasatan dalaman di bawah Seksyen 20 (1) dan pendaftar sendiri mempunyai kuasa untuk audit dan buat siasatan dalaman mengikut Seksyen 19," katanya.

 

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki pada Selasa mengesahkan, pihaknya memulakan siasatan dan pembongkaran berhubung penyelewengan dan ketirisan projek pembekalan baja padi sebuah pertubuhan di bawah kementerian terbabit. - DagangNews.com