KUALA LUMPUR 20 Dis - Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) menyambut baik Pelan Strategik Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Kebangsaan yang diumumkan kerajaan dan akan terus memberikan rumusan untuk menyokong inisiatif ESG yang mampu mengurangkan kos kepada organisasi dan pelanggan.
NIOSH percaya, pelaksanaan ESG akan memberikan kesan positif yang besar terhadap ekonomi negara.
"Ia bukan sahaja meningkatkan daya saing dan menarik pelaburan asing, tetapi juga membuka peluang untuk syarikat tempatan memperkukuhkan kedudukan mereka di peringkat global," jelas institut tersebut dalam satu kenyataan.
Pelan Strategik ESG Kebangsaan telah dipersetujui pada Mesyuarat Majlis Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Negara Tahun 2024 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kelmarin.
Pelan itu dirangka dalam usaha kerajaan membawa entiti perniagaan Malaysia secara berfasa ke arah pematuhan dan pelaporan ESG, malah ke peringkat melangkaui tahap pematuhan sekali gus mewujudkan kelebihan kompetitif dan pembangunan mampan negara.
Dalam usaha berkenaan, NIOSH turut bersedia membantu pihak industri, termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), melalui penyediaan perkhidmatan rumusan ESG seperti latihan, penilaian strategi, pelaporan, integrasi operasi perniagaan, jaminan dan perkhidmatan pengesahan pematuhan standard tempatan dan antarabangsa.
Langkah yang diambil tersebut juga berupaya memastikan syarikat-syarikat PMKS mampu menyesuaikan diri dan tidak terbeban dalam pelaksanaan prinsip ESG melalui pendekatan secara berperingkat seperti yang disarankan oleh kerajaan.
Selain itu, NIOSH turut berkongsi pengalaman, kepakaran dan pelbagai kemudahan di 13 makmal bertaraf antarabangsa untuk membantu pihak industri terutamanya PMKS, meningkatkan pematuhan terhadap pelbagai peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa, termasuk yang berkaitan dengan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 dan matlamat yang ditetapkan di bawah Pelan Strategik ESG Kebangsaan.
NIOSH juga menetapkan pematuhan kelestarian ESG dalam operasi harian dan perkhidmatan terasnya seperti pelaksanaan proses pendigitalan dan sistem pengurusan mengikut standard antarabangsa bagi aktiviti latihan dan perkhidmatan rundingan.
Amalan baik itu terbukti dapat menambah baik kualiti penyampaian, memperkasakan keselamatan dan kesihatan pekerjaan, memelihara alam sekitar dan meningkatkan integriti serta ketelusan pentadbiran. - DagangNews.com