Northeast Group lancar IPO Pasaran ACE, sasar kumpul dana hingga RM110.4 juta | DagangNews Skip to main content

Northeast Group lancar IPO Pasaran ACE, sasar kumpul dana hingga RM110.4 juta

(Dari kiri) Ketua Pasaran Modal Ekuiti, Affin Hwang Investment Bank Bhd, Arvin Chia Yew Kim; Pengarah Eksekutif Northeast Group, Chong Ewe Hean; Pengarah Urusan Northeast Group,Ng Chay Chin; Pengarah Urusan Pasaran Modal Affin Hwang Investment Bank Bhd, Johan Hashim dan Pengerusi Northeast Group Datuk Seri Lee Kah Choon.
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 26 Sept - Pengeluar komponen kejuruteraan ketepatan, Northeast Group Bhd melancarkan tawaran awam permulaan (IPO) pada hari ini di Pasaran ACE bagi mengumpul dana sehingga RM110.4 juta.

 

Menurut prospektus rasminya, IPO yang berharga 50 sen sesaham itu, membabitkan terbitan awam sebanyak 168.99 juta saham baharu yang akan mengumpul sehingga RM84.5 juta. 

 

Kumpulan itu juga akan menjual 51.8 juta saham sedia ada yang akan menghasilkan kutipan sebanyak RM25.9 juta.

 

Permohonan untuk IPO tersebut akan ditutup pada 3 Oktober 2024 dan penyenaraian telah dijadualkan pada 15 Oktober 2024.

 

Secara keseluruhan, penyenaraian syarikat berpangkalan di Pulau Pinang itu akan menawarkan pelabur sebanyak 29.84% kepentingan dalam syarikat. 

 

Katanya, penyenaraiannya akan menjana keuntungan selepas cukai kira-kira RM18.36 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Sept 2023 (FY23). 

 

Selepas penyenaraiannya, syarikat itu dijangka mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM370 juta.

 

Pada harga IPO itu, Northeast Group akan menjana kira-kira 20 kali ganda pendapatan sesaham sebanyak 2.48 sen pada FY23.

 

Di samping itu, IPO Northeast Group akan menawarkan 37 juta saham kepada orang ramai, 29.6 juta saham kepada orang yang layak, 61.69 juta saham melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih dan 40.7 juta saham melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang dikenal pasti.

 

Kira-kira 47.34% hasil daripada terbitan awam akan diperuntukkan bagi pembinaan kilang baharu yang dijangka untuk menyediakan jumlah ruang lantai pengeluaran kira-kira 79,020 kaki persegi dan menampung kira-kira 200 unit mesin kawalan berangka komputer (CNC) bagi menyokong aktiviti pengeluaran.

 

Pada masa ini, semua ruang lantai pengeluaran telah digunakan sepenuhnya di tiga kilang milik syarikat itu yang beroperasi di Juru dan Bukit Minyak. 

 

Northeast Group juga telah memperuntukkan 23.67% daripada hasilnya untuk membayar balik pinjaman bank, 14.65% untuk pembelian 36 mesin CNC baharu bagi meningkatkan anggaran kapasiti operasi tahunannya manakala 7.81% akan diperuntukkan untuk perbelanjaan penyenaraian dan baki 6.53% untuk modal kerja.

 

Hasil daripada penjualan saham sedia ada, sementara itu, akan disalurkan sepenuhnya kepada pemegang saham jualan termasuk Pengarah Urusan Ng Chay Chin dan abangnya Ng Chai Hee, yang juga merangkap Pengarah Operasi Kanan. 

 

Pengarah Eksekutif, Chong Ewe Hean, Pengarah Perniagaan dan Jualan Kanan, Yin Thien Hee bersama dua pemegang saham lain iaitu Ng Meng Hang dan Tang Ah Lek juga akan menjual saham sedia ada mereka.

 

Affin Hwang Investment Bank ialah penasihat utama, penaja, ejen penempatan tunggal dan penaja jamin tunggal IPO Northeast Group. - DagangNews.com