KUALA LUMPUR 16 Dis - Northport (Malaysia) Bhd (Northport) menandatangani perjanjian untuk membeli empat unit kren dermaga daripada Shanghai Zhenhua Heavy Industries Co., Ltd. (ZPMC) bagi meningkatkan keupayaan pengendalian terminalnya dalam menyediakan perkhidmatan kepada kapal kontena yang lebih besar dan lebih canggih.
Dua daripada kren dermaga baharu itu mempunyai kapasiti jangkauan 24 unit kontena, keupayaan angkat berkembar (twin-lift) dan kapasiti mengangkat sehingga 65 tan.
Kren-kren tersebut akan ditambah kepada kren sedia ada di Northport yang sudah mampu mengendalikan Ultra Large Container Vessels (ULCV).
Untuk rekod, pada 20 Mei 2024, Northport telah menerima kapal MV OOCL Japan, sebuah kapal ULCV dengan kapasiti 21,413 TEU, yang merupakan kapal kontena terbesar pernah berlabuh di pelabuhan mereka.
Sementara itu, dua lagi unit kren dermaga baharu itu mempunyai kapasiti jangkauan 18 unit kontena, keupayaan angkat berkembar dan kapasiti mengangkat sehingga 55 tan.
Proses pembuatan kren oleh ZPMC akan bermula pada Disember 2024, dengan penghantaran ke Northport dijangka pada suku kedua tahun 2026.
Perjanjian pembelian unit yang turut dikenali sebagai Super Post Panamax Container Handling Ship-To-Shore Gantry Crane itu, ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Fakhrul Azhar Tajudin dan Presiden ZPMC, Zhu Xiaohuai.
Fakhrul berkata, pembelian kren dermaga baharu berkenaan melengkapkan kerja penaiktarafan Dermaga 9 Northport yang sedang berjalan dan dijangka siap menjelang suku pertama tahun 2026.
Katanya, pelaburan strategik tersebut akan meningkatkan kapasiti pengendalian dan kecekapan operasi dengan ketara, di samping mengukuhkan komitmen terhadap inovasi teknologi dan keselamatan.
"Kerjasama dengan ZPMC ini sejajar dengan matlamat strategik kami di bawah program Reinventing Northport untuk terus meningkatkan infrastruktur dan kemudahan pelabuhan, memastikan syarikat kekal relevan dan mampu memenuhi keperluan pelanggan yang semakin berkembang," katanya semasa majlis menandatangani yang berlangsung di Northport di sini, hari ini.
Program Reinventing Northport, yang dimulakan pada 2016 selepas pengambilalihan Northport oleh MMC Corporation Berhad, bertujuan untuk meningkatkan kemudahan terminal, menaik taraf peralatan dan mengukuhkan kecekapan Northport bagi meningkatkan kepuasan pelanggan serta memacu pertumbuhan perniagaan.
Antara projek yang telah diselesaikan di bawah program tersebut adalah pembelian enam unit kren dermaga baharu daripada ZPMC yang diserahkan sepenuhnya pada 2019, pembelian 34 unit kren Rubber-Tyred Gantry (RTG) baharu termasuk 11 unit Electrified Rubber-Tyred Gantry (E-RTG) pada 2023 dan tambahan 12 unit E-RTG baharu yang akan diserahkan pada suku pertama 2025.
Projek-projek lain termasuk pembinaan gudang Northport Distripark Sdn Bhd (NDSB) 2, sebuah kemudahan gudang moden seluas 349,771 kaki persegi pada 2021 dan pembangunan lapangan kontena baharu, Blok J, pada 2023.
Pada September 2024, Northport juga mengumumkan penyelesaian kerja lapangan kontena Blok K untuk meningkatkan kapasiti terminal.
ZPMC, pengeluar peralatan berat yang berpusat di Shanghai, China, mengendalikan enam pangkalan pengeluaran di wilayah Jiangsu dengan lebih 10 kilometer garis pantai.
Perniagaan ZPMC meliputi sektor-sektor seperti jentera pelabuhan, industri berat marin, struktur keluli utama dan kuasa angin luar pesisir.
Produk ZPMC telah digunakan di 108 negara dan wilayah, dengan sokongan lapan hab serantau dan 28 pejabat luar negara.
Presiden ZPMC, Zhu Xiaohuai, merakamkan penghargaan kepada Northport dan Kumpulan MMC atas sokongan mereka.
"Northport adalah satu daripada rakan kongsi yang amat kami hargai dan kami berharap dapat mengukuhkan kerjasama ini. Bersama-sama, kami berhasrat untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia dan memajukan perdagangan di seluruh Asia Tenggara," katanya. - DagangNews.com