NUBE gesa PayNet mansuhkan yuran pengeluaran RM1 antara bank | DagangNews Skip to main content

NUBE gesa PayNet mansuhkan yuran pengeluaran RM1 antara bank

NUBE berkata, majoriti pelanggan yang terkesan dengan bayaran itu adalah daripada kumpulan berpendapatan rendah - Gambar hiasan dari laman web rasmi IOI City Mall
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 2 Dis - Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank (NUBE) menggesa Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) dan pemegang sahamnya, termasuk Bank Negara Malaysia (BNM), memansuhkan yuran pengeluaran RM1 antara bank. 

 

NUBE berkata, majoriti pelanggan yang terkesan dengan bayaran itu adalah daripada kumpulan berpendapatan rendah dan sebahagian besar daripada ahli kesatuan tertakluk dalam kumpulan itu yang sedang bergelut untuk membiayai kos sara hidup.

 

Katanya, pembayaran itu amat membebankan bagi keluarga berpendapatan rendah yang masih memulih daripada kemelesetan ekonomi akibat pandemik COVID-19.

 

“Mengenakan bayaran ini kepada individu yang kerap menggunakan ATM di luar rangkaian perbankan mereka bukan sahaja tidak adil malah menambahkan lagi cabaran kewangan yang mereka hadapi.

 

“Ramai pelanggan ini perlu membuat pengeluaran semasa dalam perjalanan dan kos tambahan sebanyak RM1 bagi setiap transaksi boleh terkumpul dengan cepat, seterusnya membebankan sumber terhad mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Dalam pada itu, kerajaan memperkenalkan penepian sistem MEPS pada 6 April 2020. Bank seperti OCBC dan UOB mengetepikan yuran sebulan lebih awal.

 

Langkah itu bagi membolehkan orang ramai mengeluarkan wang tunai daripada ATM  dalam rangkaian sistem MEPS semasa perintah kawalan pergerakan tanpa perlu membayar caj RM1.

 

Bagaimanapun, bank sudah menguatkuasakan semula yuran RM1 mulai 1 Februari 2022 dan seterusnya.

 

NUBE berkata, isu ini merupakan kewajipan moral PayNet dan pemegang sahamnya untuk mengetepikan yuran untuk semua pelanggan daripada kumpulan berpendapatan rendah.

 

Ia juga menyeru PayNet dan bank untuk meneroka rumusan alternatif yang akan meringankan beban kewangan kepada keluarga berpendapatan rendah. - DagangNews.com