Pahang tarik pelaburan langsung asing sebanyak RM22.67 bilion bagi tempoh dua tahun | DagangNews Skip to main content

Pahang tarik pelaburan langsung asing sebanyak RM22.67 bilion bagi tempoh dua tahun

KUALA LUMPUR 3 Dis - Pahang berjaya menarik pelaburan langsung asing (FDI) berjumlah RM22.67 bilion antara tahun 2022 hingga Jun tahun ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Industri, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang, Datuk Mohamad Nizar Najib.

 

Beliau berkata, jumlah itu melibatkan RM11.01 bilion pada tahun 2022 dan RM11.66 bilion tahun lalu.

 

"Bagaimanapun, potensi FDI untuk tahun ini masih di peringkat perbincangan," katanya kepada Dewan Undangan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang, hari ini, menurut New Straits Times.

 

Beliau menjawab soalan daripada Thomas Su Keong Siong (DAP-Ketari) mengenai jumlah FDI yang direkodkan oleh Pahang antara tahun 2022 hingga Jun tahun ini, serta jumlah pelaburan dari China.

 

Tambah beliau, FDI yang diterima adalah berdasarkan memorandum perjanjian (MoA) yang ditandatangani untuk 15 projek di seluruh negeri.

 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agro, Bioteknologi dan Pendidikan Pahang, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak berkata, semua penternak ikan sangkar, khususnya yang terlibat dalam industri penternakan ikan patin di Sungai Pahang, telah diberikan notis awal untuk bersiap sedia menghadapi musim monsun timur laut (MTL).

 

"Penternak ikan telah diberi notis awal pada bulan Oktober untuk bersiap sedia menghadapi musim monsun, termasuk mengikat sangkar dengan tali tambahan.

 

"Mereka juga dinasihatkan untuk merancang dan menjual hasil tangkapan pada saiz yang sesuai sebelum musim tersebut," ujarnya yang menjawab soalan Datuk Seri Mohd Johari Hussain (BN-Tioman) mengenai status bekalan ikan di Pahang dan pendekatan yang diambil oleh kerajaan negeri untuk membantu penternak ikan bersiap sedia menghadapi musim hujan dan banjir.

 

Mohd Soffi berkata, penternak ikan yang terjejas oleh musim monsun diminta untuk membuat laporan kepada Jabatan Perikanan daerah dan mengikuti prosedur lain termasuk membuat laporan polis.

 

Beliau turut memberi jaminan, bekalan ikan di negeri Pahang akan mencukupi sepanjang musim monsun timur laut. - DagangNews.com