Panduan Kewangan Lengkap ― AKPK perkenalkan Siri `Grow' bertepatan dengan Bulan Literasi Kewangan 2024 | DagangNews Skip to main content

Panduan Kewangan Lengkap ― AKPK perkenalkan Siri `Grow' bertepatan dengan Bulan Literasi Kewangan 2024

Bersama siri penerbitan baharu AKPK 'GROW'. Berdiri dari kiri, Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azaddin Ngah Tasir; Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Gabenor BNM, Dato' Seri Abdul Rasheed Ghaffour dan Pengerusi KWSP, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 10 Okt – Bulan Literasi Kewangan (FLM) kembali tahun ini dengan mengenengahkan perbincangan bernas untuk mempromosikan literasi kewangan kepada setiap kelompok masyarakat Malaysia. 

 

Untuk FLM tahun ini, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) memperkenal empat siri penerbitan dengan objektif utama untuk menambah baik landskap semasa melalui pemerkasaan kewangan individu pada semua peringkat umur.

 

Siri penerbitan ini akan memberikan panduan kewangan yang sesuai untuk 4 peringkat utama kehidupan individu bermula dari pengajian tinggi sehinggalah persaraan.

 

Diberi nama ‘GROW’, siri ini terdiri daripada 4 buku, iaitu Gaining Knowledge, Realising Potential, Optimising Resources dan Wealth Wisdom.

 

Siri pertama memperkasakan pelajar pengajian tinggi dengan pengetahuan tentang simpanan, belanjawan, nilai bersih dan skor kredit yang sihat. Siri kedua membimbing pekerja muda mengurus pinjaman dan kad kredit, membina dana kecemasan dan mempelajari asas pelaburan. Siri ketiga seterusnya membimbing keluarga untuk memaksimumkan sumber kewangan mereka demi masa depan yang terjamin dan mampan melalui instrumen perlindungan dan pelaburan yang betul, manakala yang keempat memberikan panduan kepada bakal pesara tentang cara merancang persaraan, mengurus harta pusaka dan mengoptimumkan simpanan KWSP.

 

Siri GROW ialah satu sumber rujukan yang berharga dan lengkap untuk perjalanan kewangan individu sepanjang kehidupan, dan dengan aplikasi prinsip dan strategi dalam siri GROW ini secara kolektif melalui promosi sumber rujukan ini secara serius, ia mampu menyumbang kepada kesejahteraan ekonomi masyarakat secara seluruhnya.

 

Bersempena dengan FLM juga, AKPK, bersama Bank Negara Malaysia dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) – sebagai sebahagian dari ahli Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) – telah menganjurkan Simposium Literasi Kewangan Kebangsaan 2024 (NFLS 2024) dari  2 hingga 3 Oktober 2024 di Sasana Kijang, Kuala Lumpur. 

 

Simposium tersebut merupakan acara tahunan yang menyediakan platform untuk wacana penting dalam mempromosikan literasi dan keterangkuman kewangan.

 

 

AKPK
CEO AKPK, Azaddin Ngah Tasir menerangkan tentang siri penerbitan baharu AKPK 'GROW' kepada Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

 

 

FLM telah dirasmikan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada Selasa, 1 Oktober 2024, di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia. Inisiatif tersebut mengutamakan literasi kewangan sebagai elemen teras agenda dasarnya di bawah Strategi Kebangsaan untuk Literasi Kewangan 2019-2023.

 

Strategi ini bertujuan untuk membina tabiat kewangan yang bertanggungjawab, meningkatkan perancangan kewangan dan membina daya tahan kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia. - DagangNews.com