Paragon Globe peroleh projek perumahan RM733 juta di Iskandar Puteri, sasarkan keuntungan RM188 juta | DagangNews Skip to main content

Paragon Globe peroleh projek perumahan RM733 juta di Iskandar Puteri, sasarkan keuntungan RM188 juta

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 13 Nov - Paragon Globe Bhd (Paragon Globe) memperoleh hak projek perumahan seluas 27.28 hektar di Iskandar Puteri, Johor, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM733.12 juta.

 

Melalui anak syarikatnya, Paragon Globe Properties Sdn Bhd (PGPSB), Paragon telah menandatangani perjanjian dengan Iskandar Capital Sdn Bhd (ICSB) untuk membangunkan dua tanah pegangan bebas seluas 4.65 dan 22.63 hektar, yang terletak berhampiran dengan jalan utama.

 

Projek itu melibatkan pembinaan 340 perumahan atas tanah, termasuk 324 rumah berkembar, dua rumah banglo dan 14 lot tanah banglo, dengan pembinaan dijangka bermula pada 2025 dan dijangka siap dalam tempoh tujuh tahun.

 

Kos pembangunan kasar projek dianggarkan sebanyak RM545.03 juta, dan Paragon Globe menjangka memperoleh keuntungan sebanyak RM188.09 juta.

 

Bagi memperoleh hak pembangunan itu, PGPSB akan membayar ICSB sebanyak RM102 juta secara ansuran, yang dibiayai melalui gabungan dana dalaman dan pinjaman bank.

 

Pengerusi Eksekutif Paragon Globe, Datuk Seri Edwin Tan Pei Seng berkata, pihaknya memberi tumpuan untuk memenuhi permintaan perumahan yang semakin bertambah di Iskandar Puteri, meningkatkan nilai pemegang saham dan mempromosikan pembangunan lestari. 

 

"Pembangunan perumahan atas tanah ini akan menyokong diversifikasi portfolio kami dan pertumbuhan jangka panjang," katanya dalam satu kenyataan.

 

Saham syarikat ditutup lebih rendah sebanyak 1.69% pada harga 29 sen, dengan permodalan pasaran sebanyak RM217 juta. - DagangNews.com