KUALA LUMPUR 16 Dis - Pekat Group Bhd menerusi, Pekat Teknologi Sdn Bhd telah melengkapkan pengambilalihan 60% kepentingan dalam Apex Power Industry Sdn Bhd pada harga RM90 juta, sekali gus menandakan kehadirannya ke dalam perniagaan peralatan pengagihan kuasa.
Pakar system suria fotovoltaik (PV) dan peralatan pelindung kilat serta pembumian (ELP) itu berkata, Apex Power, bersama-sama anak syarikat milik penuhnya EPE Switchgear Sdn Bhd, merupakan antara pengeluar alat suis elektrik voltan sederhana terbesar di Malaysia.
Syarikat-syarikat itu juga terlibat dalam aktiviti pembuatan, kejuruteraan dan projek dalam sektor tenaga.
Produknya dijual ke luar negara termasuk di wilayah Asia Pasifik, Asia Barat dan Eropah selain Sri Lanka, Oman, Australia dan Jerman.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tai Yee Chee berkata, langkah strategik itu meletakkan Pekat dalam kedudukan yang baik selain menawarkan pertumbuhan yang stabil dan pulangan yang kukuh.
Penambahan tonggak baharu itu, Pekat mengukuhkan laluannya ke arah keuntungan yang mampan dengan segmen pengagihan kuasa diunjurkan menyumbang 25% atau lebih kepada pendapatan masa hadapan kumpulan.
“Pekat akan memanfaatkan rekod prestasi Apex Power dalam segmen perniagaan peralatan pengagihan kuasa dan kehadiran pasaran asing untuk mengembangkan dan melengkapkan perniagaan sedia ada dan kedudukan pasaran kumpulan itu.
“Ia dijangka dapat dicapai melalui penyepaduan peralatan pengagihan kuasa yang dipasarkan di bawah jenama 'EPE' ke dalam produk dan perkhidmatan Pekat, sekali gus membolehkan penjualan silang produk ELP kumpulan kepada pangkalan pelanggan EPE Switchgear, serta kemasukan Peralatan pengagihan kuasa EPE Switchgear untuk projek solar kumpulan itu,” katanya.
Yee Chee berkata, segmen perniagaan peralatan pengagihan kuasa dijangka meningkat dan mempelbagaikan pendapatan kumpulan berdasarkan jaminan keuntungan agregat daripada Apex Power tidak kurang daripada RM48 juta untuk tempoh gabungan dalam tahun kewangan berakhir 30 September 2024 hingga 2026.
“Oleh itu, kami menjangkakan segmen perniagaan baharu akan menyumbang 25% atau lebih daripada keuntungan bersih kumpulan pada masa hadapan,” katanya.- DagangNews.com