Pelabuhan kargo diramal menjadi pemacu ekonomi dan hartanah Malaysia pada 2025 - Irhamy Valuers | DagangNews Skip to main content

Pelabuhan kargo diramal menjadi pemacu ekonomi dan hartanah Malaysia pada 2025 - Irhamy Valuers

Gambar: DagangNews
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Dis - Pelabuhan kargo Malaysia diramal menjadi pemacu kepada pembangunan ekonomi dan hartanah pada 2025 selepas mencatatkan rekod cemerlang pada tahun ini, kata Irhamy Valuers International Sdn Bhd yang merupakan firma penilaian di bawah Juwai IQI.

 

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Irhamy Ahmad berkata, pelabuhan Malaysia dijangka mengendalikan 778 juta tan metrik barangan menjelang akhir tahun ini, menyumbang RM657 bilion kepada ekonomi.

 

Beliau juga menganggarkan, pada 2025, angka ini boleh meningkat sebanyak 3% hingga 5%, mencecah 817 juta tan metrik dan menambah kira-kira RM690 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

 

"Dari segi jumlah kargo yang dipindahkan, kecekapan ia dipindahkan, dan sumbangan yang terhasil kepada ekonomi Malaysia, 2024 adalah tahun terbaik untuk pelabuhan kargo Malaysia.

 

"Peningkatan rangkaian perkapalan ke India telah membantu pelabuhan Malaysia meningkatkan daya pengeluaran pada tahun ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

irhamy
Irhamy Ahmad

 

Irhamy berkata operasi pelabuhan, perkapalan dan pengangkutan marin menyumbang 40% kepada KDNK Malaysia, atau kira-kira RM657 bilion aktiviti ekonomi setiap tahun.

 

Beliau berkata, pelabuhan Malaysia berfungsi sebagai hab pemindahan kapal di Asia Tenggara, yang memperoleh hasil pelabuhan Malaysia dan mewujudkan pekerjaan yang baik.

 

"Pasaran hartanah juga telah dipengaruhi secara positif oleh pertumbuhan pelabuhan Malaysia.

 

"Dengan peningkatan aliran kargo dan aktiviti pemindahan penghantaran global, permintaan untuk pergudangan, pusat pengedaran, taman perindustrian, dan kemudahan penyimpnan sejuk meningkat, khususnya di Selangor, Johor dan Pulau Pinang.

 

"Harga tanah di kawasan seperti di Taman Teknologi  Sedenak  telah meningkat hampir dua kali ganda dalam masa dua tahun sahaja," katanya.

 

Beliau berkata, hartanah kediaman di kawasan itu juga mendapat manfaat, kerana pertumbuhan dalam aktiviti berkaitan pelabuhan memacu pekerjaan dan permintaan untuk perumahan sederhana. 

 

Katanya, ruang runcit menyaksikan peningkatan permintaan apabila penduduk tempatan berkembang dan pendapatan menjadi lebih baik.

 

"Pelabuhan kargo Malaysia adalah pemacu asas ekonomi negara dan pasaran hartanahnya, dengan pengembangan berterusan dijangka terus merangsang kedua-dua sektor," katanya. - DagangNews.com