KUALA LUMPUR 20 Jan - Pelabur asing terus menjual ekuiti Malaysia di Bursa Malaysia, menandakan minggu ketiga belas berturut-turut dengan jumlah aliran keluar dana sebanyak RM1.33 bilion, kata MIDF Research.
Firma penyelidikan itu berkata, jumlah aliran keluar dana pada mingu lepas mewakili aliran keluar minggu tunggal kedua tertinggi sejak April 2024.
Katanya, pelabur asing menjual ekuiti Malaysia pada setiap hari dagangan sepanjang minggu lepas.
"Aliran dana keluar tertinggi dicatatkan pada Isnin sebanyak RM328.2 juta, manakala hari dagangan lain mencatat aliran keluar dana dalam julat antara RM212.2 juta dan RM325.5 juta.
"Satu-satunya sektor yang mencatat aliran masuk asing bersih ialah Real Estate Investment Trust (REITS) sebanyak RM1 juta.
"Sementara itu, tiga sektor teratas yang mencatat aliran keluar dana bersih tertinggi ialah pembinaan (RM313 juta), hartanah (RM156.9 juta) dan pengguna (RM127.1 juta)," katanya dalam laporan mingguan aliran dana berakhir 17 Januari 2025.
Di samping itu, institusi tempatan kekal sebagai pembeli bersih untuk minggu ketiga belas berturut-turut pada RM797.8 juta, melanjutkan rentetan pembelian mereka kepada 41 hari dagangan berturut-turut.
"Pelabur runcit tempatan kekal sebagai pembeli bersih berterusan sehingga dua minggu berturut-turut, menyumbang RM530.8 juta aliran masuk bersih kukuh.
"Selain itu, ativiti dagangan merosot dalam dua daripada tiga kategori.
"Pada minggu lepas, purata volum dagangan harian (ADTV) meningkat sebanyak 13.7%, manakla institusi tempatan merosot 4.5% dan aktiviti dagangan bagi pelabur runcit menurun 7.5%," katanya. - DagangNews.com