Pelabur asing jual RM259.8 juta ekuiti tempatan bagi minggu keempat berturut-turut, kata MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing jual RM259.8 juta ekuiti tempatan bagi minggu keempat berturut-turut, kata MIDF Research

Gambar hiasan dari Unsplash
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 2 Dis - Pelabur asing terus menjual ekuiti tempatan di Bursa Malaysia untuk minggu keempat berturut-turut, dengan jumlah yang lebih kecil, sebanyak RM259.8 juta.

 

MIDF Research berkata, mereka menjadi penjual bersih setiap hari pada minggu lepas dan menjual bersih selama tujuh hari dagangan berturut-turut.

 

"Aliran pengeluaran dana terbanyak telah dilakukan pada Isnin dengan jumlah RM104.4 juta, diikuti RM67.6 juta pada Khamis.

 

 

"Di samping itu, aliran pengeluaran dana pada Selasa, Rabu dan Jumaat masing-masing pada RM17.2 juta, RM46.6 juta dan RM24.1 juta.

 

"Sektor yang mempunyai aliran masuk asing bersih tertinggi minggu lepas perladangan (RM72.9 juta), penjagaan kesihatan (RM64 juta) dan hartanah (RM29 juta), manakala sektor yang mempunyai aliran keluar asing bersih tertinggi ialah  pengangkutan & logistik (RM120.2 juta), utiliti (RM98.5 juta) dan produk & perkhidmatan pengguna (RM79.2 juta)," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini. 

 

Berbanding pelabur asing, institusi tempatan menjadi pembeli bersih ekuiti Malaysia pad minggu keempat berturut - turut sebanyak RM207.7 juta pada minggu lepas. 

 

"Institusi tempatan menjual ekuiti dengan jumlah yang lebih kecil iaitu RM1.4 juta pada Selasa tetapi merupakan pembeli bersih sepanjang minggu lepas. 

 

"Pelabur runcit tempatan membuat pembelian bersih pada minggu lepas sebanyak  RM52.1 juta.

 

"Mereka hanya menjual bersih sebanyak  RM26.8 juta pada hari Rabu tetapi tetap kekal menjadi pembel bersih sepanjang baki hari dagangan minggu lepas," kata MIDF. 

 

Dari segi penyertaan, purata jumlah dagangan harian (ADTV) menyusut merentasi semua kelas pelabur.

 

Pelabur asing mencatatkan penyusutan sebanyak 8.8%, manakala pelabur institusi tempatan dan pelabur runcit tempatan menyaksikan penurunan masing-masing sebanyak 3.1% dan 3.3%. - DagangNews.com