Pelaburan, eksport kukuh pacu pertumbuhan KDNK suku ketiga Malaysia kepada 5.3%, kata BNM | DagangNews Skip to main content

Pelaburan, eksport kukuh pacu pertumbuhan KDNK suku ketiga Malaysia kepada 5.3%, kata BNM

KUALA LUMPUR 15 Nov - Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.3% pada suku ketiga 2024, didorong oleh aktiviti pelaburan yang kukuh dan peningkatan eksport yang berterusan. 

 

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour, berkata ekonomi negara berkembang 5.9% pada suku kedua 2024, menjadikan purata pertumbuhan bagi tiga suku pertama tahun ini mencapai 5.2%. 

 

“Aktiviti pelaburan disokong oleh perbelanjaan kukuh bagi struktur serta jentera dan peralatan, manakala perbelanjaan isi rumah terus meningkat disebabkan keadaan pasaran pekerja yang positif serta sokongan dasar,” lapor Bernama.

 

Beliau turut menambah, eksport mengukuh hasil permintaan luaran yang semakin pulih dan limpahan positif daripada peningkatan kitaran teknologi global. Pada masa sama, import berkembang lebih pantas, didorong oleh permintaan barangan modal dan barangan perantaraan yang kuat bagi menyokong pelaburan dan perdagangan. 


 
Dari sudut penawaran, hampir semua sektor menyumbang kepada pertumbuhan, dengan sektor perkilangan menunjukkan peningkatan melalui kelompok berorientasikan eksport. Namun, pertumbuhan sebahagiannya diimbangi oleh aktiviti penyenggaraan dalam sektor perlombongan.

 

Melihat ke hadapan, Abdul Rasheed berkata pertumbuhan ekonomi Malaysia akan dipacu oleh aktiviti pelaburan yang berterusan, peningkatan eksport, dan perbelanjaan isi rumah yang berdaya tahan. 

 

“Inisiatif pemangkin dalam pelan induk nasional dan pelaksanaan lebih tinggi bagi pelaburan yang diluluskan akan menjadi pemacu utama aktiviti pelaburan,” katanya. Pelaburan yang disokong oleh import modal yang lebih tinggi ini dijangka meningkatkan eksport serta kapasiti produktif ekonomi.

 

Walaupun prospek kekal positif, Abdul Rasheed memberi amaran bahawa risiko kelembapan mungkin timbul akibat permintaan luaran yang lebih perlahan, ketegangan geopolitik, perlindungan perdagangan, serta pengeluaran komoditi yang lebih lemah daripada jangkaan.  

 

Namun, potensi limpahan lebih besar daripada kitaran teknologi, pelaksanaan projek pelaburan yang lebih cepat, dan aktiviti pelancongan yang lebih mantap boleh menyokong pertumbuhan lebih tinggi.- DagangNews.com