Mercedes-Benz dan MAG sediakan kenderaan mewah antara terminal di KLIA | DagangNews Skip to main content

Mercedes-Benz dan MAG sediakan kenderaan mewah antara terminal di KLIA

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 21 Jan - Mercedes-Benz Malaysia (MBM) dan syarikat induk Malaysia Airlines, Malaysia Aviation Group (MAG), mengumumkan kerjasama strategik untuk mendefinisikan semula perkhidmatan mewah dan meningkatkan pengalaman pelanggan keseluruhan untuk pelanggan elit mereka. 

 

Menerusi kerjasama itu, penumpang yang layak boleh menikmati Perkhidmatan Pemindahan Terminal Persendirian menggunakan kenderaan mewah termasuk model Mercedes-Benz S 580 e Plug-in Hybrid dan Mercedes-Benz EQS 500 4MATIC elektrik sepenuhnya, bermula 16 Januari 2025.

 

Perkhidmatan yang tersedia selama 24 jam itu akan memudahkan transit bagi penumpang yang layak antara Terminal 1 KLIA dan Bangunan Satelit.

 

merc

 

Sebagai sebahagian daripada kerjasama tersebut, ahli Enrich Platinum dan Gold Malaysia Airlines akan menikmati #MyMercedesRewards iaitu ganjaran khas yang disediakan untuk mereka yang membeli model Mercedes-Benz terpilih, termasuk model elektrik sepenuhnya (all-electric) dan hibrid plug-in.

 

Di samping itu, ahli yang membeli kereta Mercedes-Benz baharu tahun ini akan berpeluang untuk menyertai perjalanan eksklusif ke Jerman, menawarkan pengalaman unik ke dunia Mercedes-Benz.


  
Ahli Enrich Platinum dan Gold Malaysia Airlines juga boleh menikmati akses ke acara Mercedes-Benz Malaysia eksklusif yang menawarkan pengalaman kemewahan yang tiada tandingannya. 

 

Pelanggan Mercedes-Benz turut berpeluang menyertai acara eksklusif Enrich Malaysia Airlines, yang memberikan keistimewaan perjalanan dan gaya hidup luar biasa yang mencerminkan perkhidmatan premium.

 

merc

 

Selain itu, bermula 1 Mac 2025, pelanggan yang membeli kenderaan Mercedes-Benz akan menikmati akses sepanjang tahun ke Perkhidmatan Pemindahan Terminal Persendirian Malaysia Airlines, memastikan perjalanan yang mewah dan mudah semasa terbang dengan Malaysia Airlines.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Mercedes-Benz Malaysia, Amanda Zhang berkata, misi syarikat adalah untuk mencipta pengalaman luar biasa yang digelar Mercedes Moments, di mana teknologi canggih bertemu dengan keanggunan abadi untuk menjadikan setiap perjalanan tidak dapat dilupakan.

 

"Kerjasama dengan MAG membolehkan kami meningkatkan pengalaman perjalanan mewah untuk pelanggan kami dan ahli Enrich, menetapkan piawaian baharu dalam pengalaman peribadi yang eksklusif.

 

"Penarafan kami secara konsisten sebagai jenama automotif mewah paling bernilai dalam Interbrand's Best Global Brands 2024 mencerminkan komitmen kami terhadap inovasi dan kecemerlangan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Perkhidmatan Kesetiaan & Perjalanan dari MAG, Philip See pula berkata, pihaknya komited untuk meningkatkan pengalaman perjalanan kepada pelanggan.

 

merc

 

"Kerjasama kami dengan Mercedes-Benz Malaysia memastikan ahli Enrich dan penumpang elit menikmati keselesaan premium. Ini menyokong usaha kami untuk meningkatkan tawaran di dalam dan luar pesawat, mengukuhkan perkhidmatan premium Malaysia Airlines. 

 

"Di samping itu, melalui keistimewaan eksklusif, kami berusaha untuk meningkatkan pengalaman Enrich, memastikan perjalanan yang lancar dan berbaloi di luar penerbangan. Kami tetap komited untuk memberikan perkhidmatan luar biasa yang mencerminkan hospitaliti Malaysia," jelasnya.

 

Kerjasama tersebut mencerminkan komitmen bersama Mercedes-Benz Malaysia dan Malaysia Airlines untuk menyampaikan pengalaman luar biasa.

 

Dengan menggabungkan kemewahan inovatif Mercedes-Benz dengan hospitaliti bertaraf dunia MAG, kerjasama berkenaan menetapkan piawaian baharu untuk perkhidmatan premium di rantau ini.

 

Kerjasama itu diumumkan dalam satu acara eksklusif yang diadakan di Hap Seng Star Setia Alam, yang mempamerkan komitmen bersama terhadap kemewahan dan keselesaan yang tiada tandingannya. - DagangNews.com