KUALA LUMPUR 19 Nov - Setelah tertangguh lebih enam tahun, pembinaan baki dua kapal pesisir pantai (OPV) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bakal disambung dan disiapkan.
Ini berikutan perancangan bagi meneruskan kerja-kerja tersebut akan diputuskan tidak lama lagi.
Mengesahkan perkara itu, Ketua Pengarah APMM, Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, kerja-kerja menyiapkan kedua-dua kapal sedang dirancang.
Menurut beliau, pihaknya masih dalam proses mengenal pasti syarikat yang berminat untuk mengambil alih pembinaan kapal.
“Ada 12 buah limbungan kapal telah mengemukakan cadangan (RFI) untuk meneruskan pembinaan 2 buah OPV tersebut.
“Ketika ini status OPV 2 sudah 76% siap manakala OPV 3 pula 57%.
“Sehubungan itu kita menjangkakan OPV 2 boleh disiapkan dalam tempoh 12 bulan kerana pembina baharu hanya perlu menyambung dua blok utama kapal,” ujarnya kepada Dagang News ketika dihubungi.
Ditanya adakah kerja-kerja menyiapkan 2 buah OPV ini rumit, jelas Mohd Rosli, peralatan pada kapal-kapal ini tidak terlalu canggih sepertimana sebuah kapal perang tentera laut.
Bagaimana pun katanya, kelengkapan termasuk sistem pada kapal berkenaan tidaklah ketinggalan apabila OPV tersebut dioperasikan nanti.
Memandangkan kos bagi meneruskan pembinaan 2 OPV ini tidak termasuk dalam Belanjawan 2025 lepas, maka kemungkinan ia akan dimasukkan dalam belanjawan tahun seterusnya.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada April lalu bahawa kementeriannya akan memutuskan mengenai hala tuju pembinaan kapal tersebut yang akan diumumkan dalam masa terdekat.
KDN juga katanya, memerlukan suntikan RM200 juta untuk menyiapkan projek OPV 2 dan OPV 3.
Jumlah itu hasil semakan semula peruntukan asal dan baki peruntukan baharu bagi menyiapkan OPV 1 sebelum ini.
Beliau juga memberitahu bahawa baki 2 OPV APMM ini dijangka diterima APMM dalam tempoh kurang dua tahun.
Anggaran tempoh masa tersebut mengambil kira perkembangan semasa pembinaan kedua-dua kapal.
Kontrak perolehan tiga OPV bernilai RM738.9 juta ini dimeterai TH Heavy Engineering (THHE) pada Januari 2017 untuk disiapkan dalam tempoh 42 bulan dan sepatutnya siap pada Julai 2020.
la merupakan penganugerahan kontrak secara rundingan terus untuk keperluan projek di dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).
Kementerian Kewangan (MOF) kemudian terpaksa menyuntik pinjaman RM152.6 juta menjadikan kos keseluruhan kira-kira RM891.5 juta.
Jika kerajaan bersetuju menyuntik lagi RM200 juta, bermakna kos keseluruhan projek OPV APMM ini akan berubah menjadi RM1 bilion.
OPV pertama, KM Tun Fatimah diserahkan kepada KDN pada Januari lalu dan kini ditempatkan di Sarawak.
OPV APMM dibina menggunakan reka bentuk kapal Damen 1800 berukuran 83 meter panjang dengan lebar 13.7 meter dan berkeupayaan melakukan operasi di laut sehingga 21 hari tanpa ulang bekal.
Reka bentuk kapal ini bakal menjadikan OPV tersebut berkemampuan menghadapi laut bergelora sehingga tahap Force 7.
Ia juga mampu melaksanakan tugas-tugas seperti bantuan kemanusiaan, bertindak sebagai kapal logistik, menjadi kapal induk dan kapal pemerintah serta menjadi tempat penyimpanan kelengkapan menghadapi ancaman tumpahan minyak. - DagangNews.com