Pembinaan pesawat ATR P-72M TUDM di Itali lancar, jangka diterima pada 2026 | DagangNews Skip to main content

Pembinaan pesawat ATR P-72M TUDM di Itali lancar, jangka diterima pada 2026

TUDM bakal mengoperasikan 2 pesawat MPA P-72M tidak lama lagi.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 20 Dis - Proses pembinaan pesawat rondaan maritim (MPA) ATR P-72M Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berjalan lancar dengan jangkaan pesawat diterima pada tahun 2026.

 

Dua pesawat tersebut kini berada pada fasa modifikasi di LAD Caselle, Turin, Itali.

 

Perkara tersebut dimaklumkan pada laman media sosial Facebook TUDM semasa lawatan kerja Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM ke Itali 

 

 

Lawatan ini untuk meninjau perkembangan terkini perolehan pesawat MPA ATR P-72M oleh syarikat Leonardo S.p.A. 

 

 

Pesawat
Mohd Asghar (dua dari kanan) diberi penerangan mengenai status terkini projek dan meninjau kerja-kerja modifikasi yang telah dilakukan.


 

 

Pesawat

 

Selain itu, ia juga bertujuan mengukuhkan kerjasama strategik antara TUDM dan Italian Air Force (ITAF).

 

Delegasi TUDM telah diberikan taklimat komprehensif mengenai status terkini projek dan meninjau kerja-kerja modifikasi yang telah dilakukan.

 

Konfigurasi ATR P-72M yang dipilih TUDM oleh adalah berdasarkan kerangka pesawat ATR 72-600. 

 

Sistem Pengawasan dan Pemantauan Udara (ATOS) Leonardo diguna untuk menggabungkan maklumat yang dikumpul oleh sistem penderia pesawat.

 

 

Pesawat

 

Pesawat
Delegasi TUDM bersama sebuah pesawat ATR P-72M yang sedang dalam fasa modifikasi.

 

Ini termasuk radar imbasan elektronik Leonardo Seaspray 7300E aktif, turet penderia elektro optik, penderia peperangan elektronik serta ULISSES (Ultra-Light SonicS Enhanced System).

 

Pesawat turut memiliki sistem penderia akustik bersepadu yang boleh mengesan dan menjejak kapal selam musuh.

 

Mengikut rancangan, TUDM memerlukan 6 pesawat MPA, bermakna pembelian 4 pesawat lagi akan dibuat secara berperingkat-peringkat.

 

Mohd Asghar Khan turut mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat beliau, Leftenan Jeneral Luca Goretti bagi mengeratkan lagi kerjasama bilateral khususnya dalam aspek latihan dan perkongsian kepakaran.

 

 

Pesawat
Pesawat ATR P-72M yang bakal dimiliki TUDM dipercayai mempunyai keupayaan untuk membawa torpedo bagi operasi antikapal selam.

 

Pesawat

 

Sebagai negara yang berpengalaman dalam pengoperasian pesawat MPA, kemahiran yang dimiliki dapat membantu TUDM.

 

Difahamkan, pihak Leonardo juga akan membantu TUDM menyiapkan kemudahan yang diperlukan bagi menyokong operasi skuadron MPA apabila diterima kelak.

 

Ini termasuk kemudahan di pangkalan serta latihan kepada kru.

 

Kementerian Pertahanan dan syarikat Leonardo menandatangani perjanjian pembelian 2 pesawat MPA kira-kira RM789.6 juta pada LIMA 2023 di Langkawi tahun lalu.

 

Kontrak ini meliputi kelengkapan dan lain-lain sokongan bagi penubuhan skuadron MPA TUDM.

 

 

Pesawat
Pengoperasian pesawat ATR P-72M nanti dapat melonjakkan rondaan dan pengawasan terutama di Laut China Selatan.

 

Apabila dioperasikan nanti, pesawat ATR P-72M dapat mengukuhkan lagi pengawasan kawasan maritim negara terutamanya di Laut China Selatan.

 

Sementara menunggu 2 pesawat itu, TUDM memiliki 3 buah pesawat pengangkut CN235 yang telah diubahsuai kepada varian MSA (Maritime Surveillance Aircraft) dibiayai oleh kerajaan Amerika Syarikat dibawah program Maritime Security Initiative (MSI).

 

Sebagai sebuah negara maritim, keperluan untuk memiliki pesawat peronda maritim bagi memantau kawasan perairan negara yang luas adalah amat mendesak.

 

Apatah lagi, kedaulatan negara di Laut China Selatan itu diancam aktiviti pencerobohan oleh kapal-kapal milik China. - DagangNews.com