Pendapatan PPB dijangka meningkat bermula 2025 dipacu sumbangan lebih tinggi daripada segmen perniagaan teras - Affin Hwang | DagangNews Skip to main content

Pendapatan PPB dijangka meningkat bermula 2025 dipacu sumbangan lebih tinggi daripada segmen perniagaan teras - Affin Hwang

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Nov - Pendapatan PPB Group Bhd dijangka meningkat bermula 2025 dipacu sumbangan lebih tinggi daripada perniagaan teras serta kepentingannya dalam Wilmar International Ltd, kata Affin Hwang Investment Bank.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham kumpulan itu dengan harga sasaran yang lebih rendah sebanyak RM16.30 sesaham.

 

Bagaimanapun, ia menurunkan pendapatan teras sesaham 2024 hingga 2026 sebanyak 5.9% kepada 7.2% untuk mengambil kira gaji minimum yang lebih tinggi, andaian ringgit-dolar AS, kos bahan mentah yang lebih rendah, perbelanjaan pengguna yang lebih tinggi serta perubahan dalam sumbangan daripada Wilmar.

 

Katanya, kumpulan itu mempunyai kira-kira 6,000 pekerja dengan kira-kira 700 daripadanya adalah pekerja asing.

 

Berikutan kenaikan gaji minimum serta potensi caruman mandatori Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk semua pekerja asing, ia melaraskan margin PPB untuk memasukkan kesan gaji minimum bermula dari 2025, kerana ia mungkin memberi kesan kepada pendapatan teras kumpulan dengan angka tunggal yang rendah.

 

Firma penyelidikan itu berkata, bahagian produk pengguna PPB telah terjejas teruk kerana kos menjalankan perniagaan terus meningkat ditambah dengan persaingan yang sengit,

 

Katanya, kumpulan itu terus mempergiatkan usaha penyelidikan dan pembangunan serta pengembangan tawaran merentas rangkaian produk penggunanya.

 

"PPB kekal fokus untuk meningkatkan kecekapan pemasarannya melalui rangkaian dan sumber logistiknya yang mantap," katanya dalam satu nota kajian.

 

Affin Hwang berkata, ringgit yang lebih kukuh, bagaimanapun, akan menguntungkan segmen perniagaan tani PPB kerana kumpulan itu mengimport kebanyakan bahan mentahnya, yang membawa kepada peningkatan margin untuk perniagaan pengilangan tepung.

 

“Sebagai pengilang tepung terbesar di Malaysia, PPB juga mempunyai kelebihan daya saing berbanding rakan sebayanya dari segi jangkauan rangkaian pengedaran dan skala ekonominya.

 

"Kami percaya bekalan gandum yang mencukupi, ditambah dengan kos bahan mentah yang lebih rendah dari segi ringgit, akan membantu meningkatkan margin keuntungan PPB untuk perniagaan pengilangan tepungnya," katanya. - DagangNews.com