KUALA LUMPUR 29 Okt - Cadangan pengambilalihan Mid Valley Southkey Mall di Johor Bahru dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan baharu kepada IGB REIT.
Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, pusat beli-belah itu mula beroperasi pada April 2019 dengan pembaharuan sewa kedua akan dibuat pada 2025.
"Pusat beli-belah itu kini telah diduduki sepenuhnya. Pemerolehan masa depan IGB REIT akan disokong oleh penggearan kasar akhir suku ketiga 2024 yang kukuh pada hanya 0.22x," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, untung bersih teras kumpulan itu pada suku ketiga 2024 ialah RM92.7 juta, menjadikan keuntungan bersih teras sembilan bulan 2024 meningkat 6% kepada RM283.2 juta,menyamai 74% daripada anggaran tahun penuh dan konsensus
Katanya, untung bersih sebanyak RM260.7 juta (-39%) termasuk perubahan negatif bersih dalam FV hartanah pelaburan sebanyak RM22.5 juta, terutamanya berkaitan belanjawan daripada kerja-kerja penyusunan semula di Mid Valley Megamall.
"Keuntungan bersih teras suku ketiga 2024 telah disumbangkan oleh pendapatan sewa yang lebih tinggi daripada kadar penghunian yang berterusan dan pengembalian sewa yang positif.
"Purata pendapatan sewa bulanan kasar di Mid Valley Megamall dan The Gardens Mall masing-masing meningkat sebanyak 13.5% dan 1.4%.
"Kadar penghunian kedua-dua pusat membeli-belah kekal tinggi pada kadar penghunian hampir penuh pada akhir suku ketiga tahun ini," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) RM2.22 sesaham," katanya.- DagangNews.com