Penganalisis optimis terhadap prospek Gamuda disokong kepelbagaian buku pesanan, pendedahan terhadap pusat data | DagangNews Skip to main content

Penganalisis optimis terhadap prospek Gamuda disokong kepelbagaian buku pesanan, pendedahan terhadap pusat data

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Jan - Penganalisis optimis terhadap prospek Gamuda Bhd disokong kepelbagaian buku pesanan, peningkatan pendedahan terhadap pusat data dan pengembangan perniagaan hartanah.

 

Kemenangan kontrak RM8.3 bilion bagi Fasa 1 Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang – Laluan Mutiara – melalui SRS Konsortium dengan dua syarikat lain yang berpangkalan di Pulau Pinang mengambil bahagian yang sama sebanyak 20% setiap satu.

 

Ini membayangkan nilai kontrak RM5 bilion yang boleh diagihkan kepada kumpulan sepanjang tempoh pembinaan selama 72 bulan.

 

CGS International berkata, kemenangan kontrak setakat ini untuk Gamuda, termasuk projek LRT Pulau Pinang, berjumlah RM13.8 bilion untuk tahun kewangan 2025 (FY25).

 

Ini menjadikan buku pesanan kumpulan itu kepada RM37 bilion setakat bulan ini, katanya.

 

Terdahulu, Gamuda mengulangi sasaran buku pesanan antara RM40 bilion hingga RM45 bilion untuk akhir 2025.

 

Oleh itu, kumpulan itu perlu memenangi tempahan baharu bernilai RM25 bilion pada 2025 untuk mencapai sasaran yang lebih tinggi.

 

"Kami melihat sasaran ini sebagai konservatif dan berpendapat ia boleh datang daripada kemenangan kerja-kerja daripada pusat data margin tinggi untuk tanah yang diperolehnya baru-baru ini di Negeri Sembilan," katanya dalam satu not kajian.

 

Sementara itu, Kenanga Research berkata, walaupun kejayaan kontrak baharu itu sudah dijangka, pihaknya positif SRS Konsortium dapat memulakan pembinaan serta-merta.

 

Baru-baru ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke tidak menolak kemungkinan SRS Konsortium membida untuk baki dua pakej LRT Pulau Pinang.

 

“Dengan kemenangan kontrak bernilai RM5 bilion ini untuk kepentingan 60%, Gamuda memperoleh sejumlah RM13.76 bilion pekerjaan baharu tahun ini untuk FY25 berbanding andaian kemenangan baharu FY25 kami sebanyak RM14.5 bilion, dan meningkatkan buku pesanan tertunggaknya kepada tertinggi baharu RM37 billion," katanya.

 

Lebih banyak kontrak sedang dalam perancangan, seperti loji rawatan air Sabah, beberapa anugerah dan projek pusat data di Australia.

 

"Kami telah memperhalusi anggaran kami dengan menaikkan andaian kemenangan pekerjaan FY25 dan FY26 kepada RM17 bilion dan RM20 bilion, sambil meningkatkan andaian hasil pembinaan masing-masing kepada RM11.5 bilion dan RM15 bilion," katanya.

 

Bagaimanapun, Kenanga Research telah mengurangkan margin operasi pembinaan kumpulan itu masing-masing kepada 8.3% dan 8.6%, kerana andaian sebelumnya sebanyak 9.5% dan 10% adalah terlalu optimistik.

 

"Kami menyukai Gamuda kerana berada di kedudukan hadapan untuk projek LRT Pulau Pinang dan keupayaannya mendapatkan pekerjaan baharu di pasaran luar negara, keterlihatan pendapatan yang kukuh disokong pesanan cemerlang dalam ruang tenaga boleh diperbaharui (RE),” katanya. - DagangNews.com