Penganalisis semak turun penarafan syarikat telekomunikasi kesan penyusutan hasil | DagangNews Skip to main content

Penganalisis semak turun penarafan syarikat telekomunikasi kesan penyusutan hasil

Gambar: freepik.com
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Dis - Kenanga Investment Bank dan BIMB Securities menurunkan penarafan mereka terhadap sektor telekomunikasi kepada "neutral" daripada "overweight", berikutan keputusan suku ketiga.

 

Pemain industri telekomunikasi menyampaikan prestasi bercampur-campur untuk suku tersebut, tetapi kebanyakan pemain mengalami aliran menurun dalam purata hasil pascabayar bagi setiap pengguna (ARPU), menurut penganalisis.

 

Kenanga Resarch berkata, ARPU pascabayar CelcomDigi Bhd merosot kepada RM61 pada suku ketiga 2024 (3QFY24), manakala ARPU pascabayar Maxis Bhd terus menurun suku ke suku, mencecah RM67 berbanding paras tertingginya sebanyak RM73 pada 4QFY22.

 

"Melihat ke hadapan, kami menjangkakan tekanan inflasi akan memberi kesan kepada ARPU, kerana pengguna mengurangkan perbelanjaan dan memilih perkhidmatan data yang lebih asas," kata BIMB dalam satu nota kajian.

 

Pelan pascabayar bernilai tinggi, yang boleh menyokong pertumbuhan ARPU, dijangka kekal terhad berikutan kematangan dan ketepuan pasaran mudah alih Malaysia, yang mempunyai kadar penembusan hampir 150%, kata BIMB.

 

"Dalam segmen prabayar, kami meramalkan peningkatan ARPU yang minimum dalam tempoh terdekat, memandangkan strategi telekomunikasi semasa," katanya.

 

Permintaan prabayar boleh kekal lemah, kata BIMB, berikutan pemulihan perlahan dalam sumbangan dan prospek pertumbuhan terhad daripada pekerja asing dan pelancong.

 

BIMB juga menyatakan kebimbangan mengenai pengewangan teknologi 5G yang lebih perlahan daripada jangkaan di Malaysia.

 

"Pendekatan kerajaan untuk mengelakkan caj tambahan bertujuan untuk mengoptimumkan penggunaan perkhidmatan dan meningkatkan taraf hidup, yang mengalihkan tumpuan pengewangan 5G kepada segmen perusahaan.

 

“Bagaimanapun, kami percaya ia akan mengambil masa yang lebih lama untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang 5G perusahaan pada kadar semasa,” katanya, sambil menyatakan, CelcomDigi dan Maxis merekodkan segmen perniagaan perusahaan yang stabil, tetapi masih belum mencerminkan sumbangan penting daripada perkhidmatan 5G.

 

Sementara itu, Kenanga Research sebelum ini menjangkakan kejelasan mengenai rangkaian 5G kedua menjelang 1QFY25. Bagaimanapun, pemilihan U Mobile telah memanjangkan ketidakpastian ini.

 

"Kemenangan U Mobile telah menimbulkan lebih banyak persoalan dan berpotensi membawa kepada hasil yang lebih berbelit-belit untuk MNO terkemuka (pengendali rangkaian mudah alih, seperti CelcomDigi dan Maxis)," katanya. - DagangNews.com