KUALA LUMPUR 2 Dis - Penggantungan lesen pengangkutan pengendali kenderaan barangan anak syarikat Xin Hwa Holdings Bhd ditarik balik kira-kira sebulan lebih awal kepada 12 Januari 2025 berikutan kejayaan kumpulan itu dalam proses rayuan.
Kumpulan itu sebelum ini berkata, penggantungan lesen itu dijadualkan berakhir pada 12 Februari 2025, berikutan dakwaan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) Johor Bahru yang menyatakan Xin Hwa Trading & Transport Sdn Bhd (XHTT) tidak mematuhi keperluan penyelenggaraan dan keselamatan kenderaan sepenuhnya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, XHTT menerima notis daripada APAD Johor Bahru mengenai penarikan semula penggantungan lessen sebelum ini, yang mana XHTT dapat meneruskan operasinya seperti biasa.
Xin Hwa berkata, sejak permulaan penggantungan lesen XHTT pada 13 November 2024, kumpulan telah membuat pelarasan yang berkaitan bagi memastikan kesinambungan operasi harian XHTT dan meminimumkan kerugian kumpulan.
Pada masa ini, kenderaan yang didaftarkan di bawah anak syarikat lain telah memenuhi penghantaran segera XHTT dan beberapa perkhidmatan telah disalurkan kepada pengangkut pihak ketiga yang cekap.
Xin Hwa berkata, sebelum ini bahawa penggantungan lesen selama tiga bulan dari 13 November 2024 sehingga 10 Februari 2025, akan memberi kesan 4% sehingga 5% ke atas hasil kumpulan.
Kerugian yang dijangkakan dalam anggaran kira-kira 21% daripada hasil kumpulan. - DagangNews.com