Penjelasan Media Prima: Syed Mokhtar kekal sebagai pemegang saham terbesar  | DagangNews Skip to main content

Penjelasan Media Prima: Syed Mokhtar kekal sebagai pemegang saham terbesar 

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Okt - Media Prima Berhad mengesahkan bahawa Aurora Mulia Sdn Bhd, syarikat milik hartawan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary masih lagi pemegang saham terbesar dengan pegangan 353,815,941 saham atau 31.9% pegangan dalam syarikat media tersebut.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, Syed Mokhtar memegang kepentingan tidak langsung dalam kumpulan itu berdasarkan pegangan sahamnya Aurora Mulia.

 

Katanya, pemberhentian Sutera Bakti Sdn Bhd, Tradewinds Group (M) Sdn Bhd dan Restu Jernih Sdn Bhd sebagai pemegang saham besar tidak langsung kumpulan melalui kepentingan di bawah Seksyen 8 Akta Syarikat, 2016 dalam Aurora Mulia.

 

 

"Pengumuman itu malangnya disalahertikan dengan memberi bayangan Aurora Mulia dan Syed Mokhtar tidak lagi menjadi pemegang saham utama syarikat.

 

"Syarikat ingin menekankan bahawa penjelasan ini bertujuan memastikan ketelusan yang lengkap dan menangani sebarang kemungkinan salah tafsir yang timbul daripada pengumuman yang dibuat kepada Bursa Malaysia pada 7 Oktober 2024," katanya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary lupuskan keseluruhan saham majoriti 31.9% dalam Media Prima

 

Terdahulu, Media Prima menyatakan Aurora Mulia tidak lagi menjadi pemegang saham selepas melupuskan 353.82 juta saham, bersamaan dengan 31.9%, dalam syarikat itu.

 

Aurora Mulia telah muncul sebagai pemegang saham besar dalam Media Prima apabila ia memperoleh 31.9% pegangan pada Oktober 2019, dengan mengambil alih kepentingan Umno melalui Gabungan Kesturi Sdn Bhd dan Altima Inc.

 

Carian di laman web Suruhanjaya Syarikat Malaysia menunjukkan anak lelaki Syed Mokhtar, Syed Danial Syed Mokhtar Shah, berada di lembaga pengarah Aurora Mulia.

 

Bulan lalu, Media Prima menyaksikan kemunculan pemegang saham besar baharu, Leasing Corp Sdn Bhd, melalui pengambilalihan 5.53% kepentingan. Leasing Corp dimiliki oleh Sisma Vest Sdn Bhd, yang pengerusinya ialah Datin Mariam Prudence Yusof.- DagangNews.com