Penyusutan eksport minyak sawit mentah Malaysia berpunca daripada catuan permintaan | DagangNews Skip to main content

Penyusutan eksport minyak sawit mentah Malaysia berpunca daripada catuan permintaan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Dis - Maybank Investment Bank (Maybank IB) percaya eksport yang lebih lemah berpunca daripada catuan permintaan kerana minyak sawit mentah (MSM) kehilangan daya saing harga berbanding minyak sayuran utama lain.

 

Katanya, sebahagiannya adalah disebabkan oleh peningkatan pengeluaran dan eksport dari Indonesia.

 

Anggaran awal eksport Malaysia untuk penghantaran dalam 10 hari pertama Disember 2024 adalah mendatar dari bulan ke bulan pada 423,567 tan (+1% MoM), menurut juruukur kargo bebas, Amspec.

 

"Memandangkan harga MSM kini didagangkan pada premium yang tinggi berbanding minyak soya Amerika Syarikat (AS$264/t), bunga matahari (AS$150/t), minyak biji sesawi (AS$99/t), dan minyak petrol (AS$737/t)

 

"Beberapa catuan permintaan mungkin tidak dapat dielakkan dalam masa terdekat kerana MSM sememangnya tidak berdaya saing," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, prospek jangka pendek bagi suku pertama 2025 adalah menjanjikan berdasarkan permintaan berdaya tahan menjelang awal Ramadhan (Mac-April) dan Tahun Baharu China (Januari-Februari) yang bertepatan dengan kitaran keluaran rendah biasa suku pertama.

 

Katanya, walaupun La Nina belum disahkan namun hujan lebat membanjiri bahagian utara Semenanjung Malaysia pada November 2024 selain menyebabkan kejadian banjir di Kelantan dan Terengganu.

 

"Bagaimanapun, negeri-negeri ini adalah pengeluar yang lebih kecil, secara kolektif menyumbang 4% daripada keluaran Malaysia pada 2023.

 

"Namun, fenomena La Nina menanggung pemantauan pada Disember-Januari kerana ini adalah bulan basah biasa, yang mungkin mengganggu bekalan dan menaikkan harga MSM secara mendadak," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "Neutral" bagi sektor perladangan. - DagangNews.com