Perak tubuh makmal analisis perlombongan mineral bernilai RM12 juta di Gopeng | DagangNews Skip to main content

Perak tubuh makmal analisis perlombongan mineral bernilai RM12 juta di Gopeng

Makmal Terra Mineral Lab yang terletak di Gopeng bakal memacu industri mineral Perak.
Oleh Zaki Salleh

GOPENG 3 Okt - Kerajaan negeri Perak menerusi Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) memperuntukkan RM12 juta bagi menubuhkan makmal analisis mineral bertaraf dunia.

 

Penubuhan Terra Mineral Lab Sdn. Bhd. Sdn. Bhd. (TML) dan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Mineral (CoE) akan mengukuhkan kedudukan negeri dalam peta industri mineral.

 

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, makmal tersebut kini dalam proses mendapatkan akreditasi MS ISO/IEC 17025 daripada Jabatan Standard Malaysia.

 

Menurut beliau, ini sebagai langkah pertama untuk mengiktiraf TML sebagai makmal komersial utama negara dalam analisis mineral.

 

Perak
Saarani (tengah) diberi penerangan semasa meninjau kemudahan di Terra Mineral Lab selepas merasmikan makmal tersebut.

 

 

Perak

 

"Projek perintis perlombongan unsur nadir bumi bukan Radioaktif (NR-REE) juga ada di negeri lain seperti Pahang, Kelantan, Johor dan Kedah, jadi tidak perlu (negeri berkenaan) membina makmal lain seumpamanya.

 

"Perkhidmatan yang disediakan tidak hanya terhad kepada kerajaan negeri malah turut diperluaskan kepada pelbagai pihak berkepentingan.

 

“Ini termasuk pemain industri carigali dan perlombongan, industri penyelidikan dan lain-lain industri dari seluruh negara,” ujarnya.

 

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Terra Mineral Lab dan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Mineral di Persiaran Teknologi Kawasan Perindustrian Gopeng 2 di sini.

 

Perak

 

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc, Anuar Zainal Abidin.

 

TML dikendalikan oleh 15 pakar tempatan termasuk ahli kimia kanan, ahli kimia dan penolong ahli kimia berpengalaman luas.

 

Jelas Saarani lagi, kejayaan projek NR-REE di Kenering yang telah menjana royalti sebanyak RM29.73 juta kepada kerajaan negeri menjadi bukti kukuh potensi besar industri ini.

 

“Pada masa ini lebih 85 peratus pengeluaran lantanida dunia dikuasai oleh China.

 

Perak

 

Perak

 

"Dengan adanya TML, kita berada di landasan tepat untuk menyumbang kepada kepelbagaian rantaian bekalan global, sekaligus mengurangkan pergantungan dunia kepada suatu sumber.

 

"Perak mempunyai simpanan 5,000 ekar lagi lantanida di Kenering dan telah mengenalpasti kawasan lain yang mempunyai simpanan mineral yang mampu menyumbang pendapatan kepada negeri," katanya.

 

Bulan lalu, kerajaan Perak menghantar sekumpulan penyelidik ke Jerman bagi meningkatkan kepakaran dalam menganalisis kandungan NR-REE.

 

Lawatan ke Pusat Latihan Peralatan Bruker itu memfokuskan kepada pengendalian peralatan analisis utama yang digunakan dalam industri mineral dan cari gali. - DagangNews.com