Perbelanjaan pembangunan infrastruktur awam dijangka meningkat bermula suku keempat 2024 - CIMB Securities | DagangNews Skip to main content

Perbelanjaan pembangunan infrastruktur awam dijangka meningkat bermula suku keempat 2024 - CIMB Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Dis - Malaysia bersedia untuk meningkatkan perbelanjaan pembangunan infrastruktur awamnya mulai suku keempat 2024 dan seterusnya.

 

Perbelanjaan itu akan bermula dengan projek seperti Transit Aliran Ringan Pulau Pinang (LRT) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang serta lebuh raya Pan Borneo Sabah, menurut CIMB Securities.

 

Katanya, rangsangan tambahan mungkin datang daripada peningkatan dalam perbelanjaan infrastruktur di Malaysia Timur, memandangkan Sabah dan Sarawak boleh mengadakan pilihan raya masing-masing pada 2025 dan 2026.

 

CIMB Securities berkata, momentum tender akan disokong oleh peningkatan bilangan projek perkongsian awam-swasta (PPP) untuk projek loji berteknologi tinggi, lebuh raya, tenaga boleh diperbaharui dan perubahan iklim.

 

Ini adalah tambahan kepada Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

 

Pembentukan rangka kerja JS-SEZ, yang dijangka menjelang Januari 2025, seharusnya merangsang prospek buku pesanan baharu di Johor dan memberikan dorongan baharu untuk cadangan rel berkelajuan tinggi KL-Singapura dan LRT Johor atau projek transit pantas autonomi.

 

Projek PPP akan memainkan peranan penting dalam mempercepatkan semula pekerjaan infrastruktur awam yang lebih besar di Malaysia.

 

Melalui Pelan Induk PPP 2030, kerajaan menyasarkan untuk menjana pelaburan bernilai RM78 bilion merentasi 17 inisiatif utama menjelang 2030.

 

Antara Januari dan Oktober 2024, nilai projek pembinaan yang dianugerahkan oleh sektor awam dan swasta telah melonjak kepada RM186 bilion.

 

Pada RM186 bilion, ia adalah paras tertinggi sejak 2016. Ia juga telah melepasi jumlah nilai yang didaftarkan pada keseluruhan 2023 iaitu RM153 bilion.

 

“Hasilnya, kami menjangkakan momentum kontrak kekal teguh dan pendapatan teras sektor itu meningkat 25.2% tahun ke tahun pada 2025.

 

“Pelancaran projek infrastruktur baharu seharusnya memulakan penarafan semula yang lebih kukuh untuk sektor itu.

 

“Sebaliknya, dasar baharu pekerja asing (seperti caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan levi pekerja pelbagai peringkat) boleh memberi tekanan margin baharu kepada kontraktor Malaysia dalam tempoh terdekat," katanya dalam satu nota kajian.

 

Mengulas mengenai pendapatan suku ketiga, CIMB securities berkata, sektor pembinaan melaporkan satu lagi prestasi kukuh pada 3QFY24.

 

Ini berlaku walaupun terdapat tekanan kos yang diperbaharui dalam sektor ini.

 

Keputusan empat syarikat di bawah liputannya adalah selaras dengan jangkaan, manakala satu mengatasi prestasi.- DagangNews.com