Perniagaan teknologi RE Solarvest dijangka kukuh berikutan pengambilalihan 30% pegangan dalam SIW Manufacturing, kata Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Perniagaan teknologi RE Solarvest dijangka kukuh berikutan pengambilalihan 30% pegangan dalam SIW Manufacturing, kata Kenanga Research

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 4 Dis - Pengambilalihan 30% saham SIW Manufacturing Sdn Bhd (SIW) oleh Solarvest Holdings Bhd pada harga RM36 juta itu dijangka mengukuhkan lagi perniagaan teknologi boleh diperbaharui (RE) kumpulan, kata Kenanga Research. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, Solarvest bakal memanfaatkan pangkalan pelanggan  SIW yang tertumpu pada Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan cadangan nilai uniknya melalui teknologi yang mampan. 

 

"Pengambilalihan ini membolehkan Solarvest memanfaatkan perhubungan pelanggan sedia ada SIW, menawarkan pemasangan sistem panel solar dan sijil tenaga boleh diperbaharui (REC). 

 

"Selain itu, pengambilalihan ini juga akan membantu mengimbangi pelepasan karbon pelanggan Solarvest dan memajukan inisiatif kemampanan mereka," katanya.

 

Kenanga menyemak semula unjuran FY25 sehingga FY26 kumpulan masing-masing pada 1% dan 5%, mencerminkan hasil yang akan dijana daripada pengambilalihan itu. 

 

"Kami terus menyukai Solarvest memandangkan prospek pengembangan RE Malaysia yang positif, kedudukan pasaran kumpulan yang baik dan keterlihatan hasil kumpulan yang kukuh.

 

"Oleh itu, kami mengekalkan saranan "outperform" ke atas Solarvest dangan harga sasaran (TP) dinaikkan kepada RM1.91 daripada RM1.95 sesaham," katanya. 

 

Risiko terhadap saranan Kenanga termasuk perubahan dasar RE kerajaan, kemasukan pemain baharu dalam ruang EPCC solar, persaingan yang semakin sengit dalam pasaran RE dan peningkatan kos projek.- DagangNews.com