Pesawat FA-50M TUDM lebih menyengat bila dilengkapi peluru berpandu Taurus | DagangNews Skip to main content

Pesawat FA-50M TUDM lebih menyengat bila dilengkapi peluru berpandu Taurus

TUDM bakal memiliki 18 buah pesawat LCA FA-50M bagi menggandakan keupayaan tempur.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 15 Jan - Pesawat tempur ringan (LCA) FA-50 Blok 2 buatan Korea Selatan yang bakal dimiliki Malaysia akan menjadi lebih menyengat apabila lebih banyak sistem persenjataan berkeupayaan tinggi boleh dipasang.

 

Terbaru ialah usaha Korea Aerospace Industries (KAI) untuk melengkapkan pesawat tersebut dengan varian lebih kompak peluru berpandu kruis Taurus KEPD 350K-2.

 

Laman pertahanan Defence Security Asia memaklumkan, usaha itu yang semakin menjadi kenyataan berikutan kerjasama yang sedang dirintis KAI dengan syarikat Taurus Systems GmbH dari Jerman.

 

 

Taurus KEPD-350 merupakan sistem peluru berpandu kruis yang dibangunkan Jerman dan Sweden serta digunakan oleh negara itu, Korea Selatan dan Sepanyol.

 

 

Pesawat
Gambaran grafik menunjukkan pesawat FA-50 Blok 20 bersama peluru berpandu Taurus bersaiz kompak.

 

Menurut laporan itu, peluru berpandu kruis (Taurus) KEPD 350K-2 adalah lebih kompak berbanding (Taurus) KEPD 350 tetapi memiliki prestasi yang sama.

 

Ini membolehkan peluru berpandu tersebut dipasang pada pesawat FA-50 Blok 20 sekali gus menjadikan keupayaan tempur pesawat berkenaan sangat menggerunkan.

 

Taurus KEPD-350 digunakan sebagai senjata pemusnah seperti sasaran strategik, memusnahkan sistem pertahanan udara musuh yang dipandu menggunakan sistem pengesan kedudukan global.

 

Ia boleh dilancarkan ke sasaran sehingga pada jarak 500 kilometer.

 

Dipercayai varian kompak Taurus ini nanti akan mempunyai keupayaan setanding dengan peluru berpandu sedia ada.

 

 

Pesawat
Korea Selatan merupakan pengguna peluru berpandu Taurus KEPD-350 yang dilengkapi pada pesawat F-15K Eagle.

 

Pesawat

 

Pesawat

 

Pada Januari 2024, Taurus Systems memaklumkan bersedia untuk membangunkan peluru berpandu kruis untuk pesawat FA-50 KAI.

 

Usaha ini bagi menggandakan keupayaan tempur selain meningkatkan prospek pesawat tersebut untuk pasaran eksport.

 

Menurut pejabat Korea Taurus Systems ketika itu, proses pembangunan awal rancangan berkenaan telah selesai.

 

Apabila dibangunkan kelak, Korea Selatan atau pihak KAI boleh menawarkan peluru berpandu Taurus KEPD 350K-2 kepada pengguna pesawat FA-50 seperti Filipina, Indonesia, Thailand, Iraq dan Malaysia.

 

 

Pesawat
Peluru berpandu Taurus dilancar bagi memusnahkan sasaran strategik sehingga pada jarak 500km.

 

Pesawat

 

Bagaimana pun, berbanding negara serantau lain varian FA-50M yang bakal diperolehi Malaysia adalah yang terkini dengan ciri-ciri tempur lebih baik.

 

Kementerian Pertahanan (Mindef) pada tahun 2023 telah menandatangani kontrak pembelian 18 buah pesawat LCA FA-50M (Block 20) bernilai RM4 billion.

 

Malaysia dijangka menerima penghantaran pertama pesawat berkenaan pada penghujung tahun 2026.

 

Penghantaran seterusnya adalah secara berperingkat-peringkat dengan pesawat terakhir diterima pada tahun 2028.

 

Mengikut perancangan TUDM memerlukan 36 buah pesawat LCA yang juga diperanankan sebagai pesawat latihan lanjutan bagi melatih juruterbang di skuadron tempur.

 

Pesawat
Pembelian pesawat LCA FA-50M Blok 20 TUDM bakal melindungi ruang angkasa negara.

 

Pesawat

 

Pesawat FA-50M Block 20 TUDM bakal dilengkapi dengan radar Active Electronically Scanned Array (AESA) ‘Phantom Strike’ dan pelbagai komponen elektronik terkini serta peralatan mengisi minyak di udara. 

 

Kemudahan pengisian minyak di udara akan memastikan pesawat FA-50M Block 20 itu beroperasi lebih jauh sesuai dengan geografi Malaysia sebagai negara maritim. 

 

Ini juga memberi kelebihan untuk pesawat terbang lebih lama, malah menjadikan keupayaan pesawat ini menyamai dengan lain-lain pesawat tempur bersaiz besar.

 

Pesawat ini juga akan dilengkapi dengan kemampuan untuk melancarkan peluru berpandu dan bom berketepatan tinggi.  - DagangNews.com