BINTULU 4 Nov - Kontraktor kejuruteraan dan pembinaan yang beribu pejabat di United Kingdom (UK), Petrofac, memperoleh kontrak bernilai RM418.81 juta untuk kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pengujian (EPCC) bagi menyediakan Petronas, syarikat minyak Malaysia, dengan kemudahan pemprosesan gas baharu yang terletak berhampiran Bintulu, Sarawak.
Skop kerja untuk projek itu yang dikenali sebagai Bintulu Additional Gas Sales Facilities 2 (BAGSF2), merangkumi kejuruteraan dan pembinaan unit pemprosesan dan utiliti, serta unit rawatan efluen untuk mengurangkan jejak alam sekitar operasi, skid pengukuran, tangki air kebakaran, pam, sistem flare dan bangunan sub-stesen utama.
Kemudahan baharu tersebut akan mempunyai kapasiti pengendalian harian sebanyak 11 juta meter padu gas.
Petrofac juga akan melaksanakan pengubahsuaian brownfield dan penyambungan kemudahan baharu terbabit dengan kilang pemprosesan serupa yang telah beroperasi di Bintulu.
Ketua Pegawai Operasi (COO) Petrofac Nick Shorten berkata, kontrak berkenaan akan diuruskan anak syarikat mereka, Petrofac Engineering Services Malaysia.
"Anak syarikat lain Petrofac di Malaysia, Petrofac-RNZ, akan bekerjasama dengan rantaian bekalan dan subkontraktor tempatan serta memberikan sokongan kejuruteraan kepada projek ini," katanya dalam satu kenyataan.
Bintulu merupakan lokasi industri utama di Malaysia, di mana Petronas mengoperasikan kilang gas asli cecair terbesar di negara ini di pelabuhan berhampiran Tanjung Kidurong, dengan kapasiti pengeluaran tahunan sekitar 30 juta tan.
BAGSF2, yang akan dibina di Tanjung Kidurong, akan mengendalikan campuran gas asli dan cecair hidrokarbon yang masuk.
Kontrak baharu itu adalah kerjasama jangka panjang antara Petrofac dan Petronas, di mana kontraktor dari UK tersebut baru-baru ini memulakan pengeluaran di ladang minyak East Cendor di blok luar pesisir PM 304, bekerjasama dengan Petronas Carigali dan Kuwait Foreign Petroleum Exploration Company (Kufpec). - DagangNews.com