Pharmaniaga terima geran daripada MOSTI, jalankan R&D vaksin | DagangNews Skip to main content

Pharmaniaga terima geran daripada MOSTI, jalankan R&D vaksin

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 11 Okt - Pharmaniaga Bhd menerima geran daripada kerajaan bagi menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) vaksin melalui Dana Pembangunan dan Pengukuhan Pengeluaran Vaksin Nasional (DPVN).

 

Dalam makluman Pharmaniaga kepada Bursa Malaysia, kumpulan farmaseutikal itu berkata, anak syarikat milik penuhnya, Pharmaniaga Lifescience Sdn Bhd (PLS) meterai perjanjian bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi ( MOSTI,) melalui Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia. 

 

Katanya, perjanjian tersebut berkuat kuasa mulai 1 Mac 2024 sehingga 31 Mac 2027 atau tertakluk kepada penamatan lebih awal.

 

Syarikat Nota Amalan 17 (PN17) itu bagaimanapun tidak menyebut nilai dana itu.

 

DVPN menyediakan geran kepada pemohon bagi membenarkan Malaysia mencapai keupayaan pengeluaran vaksin tempatan menyeluruh yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Kebangsaan (PPVN).

 

Dilancarkan pada November 2021, PPVN menyasarkan Malaysia menjadi hab pengeluaran vaksin dalam tempoh 10 tahun.

 

Menurut laman web MOSTI, DVPN menyediakan sehingga RM15 juta geran untuk R&D dan RM30 juta geran untuk kajian klinikal, dengan tempoh pembiayaan selama tiga tahun.

 

Pharmaniaga berkata, pembiayaan tersebut menyasar untuk menyokong projek R&D di bawah program DPVN seperti pembangunan vaksin heksavalen yang mengandungi pertusis aselular novel,  projek antigen polio pasif serta pembangunan dan pemindahan teknologi untuk projek vaksin konjugasi pneumokokus pertama di Malaysia.

 

“PLS diberikan dana untuk menjalankan aktiviti penggubalan, penyelidikan, klinikal dan pembuatan bagi memudahkan pelaksanaan projek di bawah program DPVN,” katanya.

 

Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) merupakan pemegang saham terbesar dalam Pharmaniaga, dengan syarikat perdana milik penuhnya, Boustead Holdings Bhd memegang 54.9% saham kolektif dalam syarikat itu.

 

Pengarah Urusan Pharmaniaga, Zulkifli Jafar pada September lalu berkata, mereka sedang menunggu kelulusan pelan penyelarasannya daripada Bursa Malaysia dalam bulan ini bagi mengeluarkan kumpulan itu daripada status PN17.

 

Kumpulan itu jatuh ke status PN17 pada Februari 2023 selepas gagal menjual vaksin COVID-19 bernilai RM552.3 juta.

 

Saham Pharmaniaga hari ini,  diniagakan setengah sen atau 1.3% lebih rendah pada 38 sen, menilai syarikat itu pada RM547.67 juta. - DagangNews.com