Pelaburan Linco Technology di Senai Airport City tingkatkan ekosistem teknologi hijau dan semikonduktor di Johor | DagangNews Skip to main content

Pelaburan Linco Technology di Senai Airport City tingkatkan ekosistem teknologi hijau dan semikonduktor di Johor

Pelaburan Linco Technology di Senai Airport City memberikan sumbangan besar terhadap pertumbuhan Johor dalam industri kecerdasan buatan (AI).
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 3 Jan - Senai Airport City Sdn. Bhd. dan anak syarikat milik penuh Linco Technology Co. (Linco Technology), Ltd, Lincotec Technology (Malaysia) Sdn. Bhd. (Lincotec), memeterai Perjanjian Jual Beli (SPA) untuk kira-kira 4.01 hektar tanah perindustrian di Zon Perindustrian Bebas Senai Airport City. 

 

Lincotec, yang ditubuhkan pada tahun 1999 dan beribu pejabat di Central Taiwan Science Park di Taichung, Taiwan, merupakan pakar dalam peralatan sputtering dan etsa plasma berketepatan tinggi. 

 

Syarikat itu juga dikenali sebagai pembekal peralatan sputtering nombor satu dunia untuk sistem Electromagnetic Interference Shielding (EMI) dalam semikonduktor dalam pakej (SiP). 

 

 

Kepakaran tersebut diterima pakai secara meluas oleh syarikat OSAT, IDM dan EMS. 

 

Produk akhir yang dihasilkan, digunakan dalam cip berprestasi tinggi, telefon pintar, peranti boleh pakai, Internet of Things (IoT), komunikasi 5G dan komunikasi satelit.

 

Melalui kecekapan terasnya dalam sputtering vakum dan etsa plasma, Lincotec telah menjadi rakan kongsi strategik kepada syarikat teknologi terkemuka dunia.

 

SAC

 

Majlis menandatangani perjanjian tersebut diadakan baru-baru ini di ibu pejabat Linco Technology di Taiwan. 

 

Perjanjian ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Senai Airport City, Gan Seng Keong, dan Pengerusi Linco Technology, Leon Chen.

 

Menurut Seng Keong, pelaburan Linco Technology di Senai Airport City memberikan sumbangan besar terhadap pertumbuhan Johor dalam industri kecerdasan buatan (AI).

 

Katanya, sebagai sebuah taman perindustrian yang strategik, Senai Airport City berfungsi sebagai lokasi utama untuk industri yang terlibat dalam pembuatan berteknologi tinggi, penyelidikan dan pembangunan, serta inovasi teknologi. 

 

"Pelaburan Linco Technology menegaskan kedudukan Senai Airport City sebagai pilihan utama pelabur dalam segmen semikonduktor, terutamanya dengan aplikasi teknologi hijau. 

 

"Kerjasama antara pelabur teknologi Malaysia dan Taiwan ini akan memperkukuhkan rantaian bekalan teknologi tempatan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Leon Chen pula berkata, pihaknya komited untuk mencipta rumusan yang berdaya saing dan mampan, yang memajukan proses pengeringan peralatan semikonduktor mesra alam sambil meminimumkan kesan terhadap alam sekitar. 

 

"Pelaburan kami dengan kemudahan baharu di Senai Airport City merupakan langkah penting dalam mengembangkan operasi kami dalam segmen teknologi hijau.

 

"Senai Airport City memberikan kami lokasi dan kemudahan yang ideal untuk mengembangkan operasi kami di rantau Asia Pasifik. Ini adalah peluang menarik bukan sahaja untuk mengembangkan perniagaan kami, tetapi juga untuk memupuk kerjasama dalam inisiatif teknologi hijau yang akan memacu kejayaan jangka panjang di Malaysia," ujarnya.

 

Pelaburan oleh Lincotec itu adalah bukti Senai Airport City sebagai destinasi pelaburan strategik bagi syarikat teknologi yang ingin menerokai pasaran Asia Pasifik.


 
Kerjasama antara Linco Technology dan syarikat global setempat akan mempercepatkan pertumbuhan Johor dalam segmen semikonduktor, yang turut menyokong perkembangan industri AI. - DagangNews.com