Premier De Muara serah Tower A Picasso Residence kepada pembeli | DagangNews Skip to main content

Premier De Muara serah Tower A Picasso Residence kepada pembeli

KUALA LUMPUR 4 Nov - Pemaju hartanah Premier De Muara Sdn Bhd menyerahkan milikan kosong kepada kesemua 270 pembeli Tower A Picasso Residence. 

 

Terletak di Jalan Jelatek, Picasso Residence yang dibina di kawasan seluas 1.42 hektar terdiri daripada Tower A dan Tower B yang masing-masing mempunyai 270 dan 202 unit. 

 

Picasso Residence, projek pertama Premier De Muara diilhamkan oleh penggiat seni terkenal Sepanyol, Pablo Picasso dan syarikat itu berhasrat mewujudkan kediaman pinggir bandar di kawasan kejiranan eksklusif yang terletak di sekitar KLCC. 

 

Pengarah Urusan Premier De Muara Sdn Bhd, Dato Andrew Tan berkata, syarikat itu menerima sambutan yang menggalakkan sejak pelancaran Picasso Residence pada 2023 dan telah menjual kesemua 472 unit Tower A dan Tower B. 

 

Picasso Residence, dengan nilai pembangunan kasar RM1.08 bilion, menawarkan lima jenis susun atur antara 1,013 kaki persegi dan 2,480 kaki persegi dengan harga RM1,610,670 dan RM3,943,200. 

 

Setiap unit dilengkapi dengan lif peribadi.

 

“Sehingga kini, sebanyak 83 peratus daripada Picasso Residence telah siap. Projek ini dirancang dalam dua fasa. 

 

"Kami telah melengkapkan Fasa 1 atau Tower A dengan 270 unit dan pemilikan kosong telah diberikan kepada pembeli mulai 13 September 2024," kata Andrew pada majlis penyerahan milikan kosong Tower A kepada pembeli, pada Sabtu. 

 

Premier Construction (International) Sdn. Bhd., anak syarikat PRG Holdings Bhd, sebagai kontraktor utama Picasso Residence, mengambil alih kontrak pembinaan utama sejak projek itu digerakkan semula. 

 

Pengarah Urusan Kumpulan PRG Holdings Bhd, Andrew Chan berkata, jangkaan siap Fasa 2 atau Tower B dengan 202 unit adalah pada Jun 2025. 

 

Katanya, T&T Architect, arkitek Picasso Residence, mencipta seni bina dan pembangunan dengan sempurna, yang dipengaruhi oleh gaya avant-garde seni Picasso, menampilkan elemen moden dan abstrak di kawasan umum atau pangsapuri. 

 

Ia juga menawarkan kemudahan premium seperti gim dan taman atas bumbung, kolam infiniti, sauna dan ruang istirahat peribadi. 

 

Picasso Residence ialah pelaburan yang kukuh kerana ia terletak di lokasi utama di bandar raya Kuala Lumpur, menyumbang kepada peningkatan hartanah jangka panjang. 

 

Ia juga menawarkan sistem keselamatan termaju, perkhidmatan concierge, lobi peribadi dan akses berpagar untuk kemudahan, privasi dan keselamatan penduduk. 

 

Dengan reka bentuk unik bangunan itu, ia telah menjadi satu lagi tarikan di bandar, dengan seni bina yang inovatif dan ciri-ciri yang menakjubkan. - DagangNews.com