KUALA LUMPUR 16 Dis - Kenaikan premium insurans yang mendadak dijangka memberi tekanan kepada kesihatan kewangan perniagaan, terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), menurut Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF).
Presidennya, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, kenaikan premium insurans antara 40% hingga 78% akan menjadi ancaman kepada PMKS yang beroperasi dengan bajet yang ketat.
Beliau memberi amaran, kenaikan itu juga boleh memaksa perniagaan untuk memindahkan kos yang lebih tinggi kepada pengguna, sekali gus menyumbang kepada inflasi dengan mempengaruhi paras harga umum dan mengurangkan daya beli pengguna.
"Untuk mengurangkan kos yang meningkat, sesetengah majikan mungkin terpaksa mengurangkan tahap perlindungan insurans mereka, yang membawa kepada faedah kesihatan yang tidak menyeluruh untuk pekerja.
"Penyesuaian dalam faedah ini boleh memberi kesan terhadap kesetiaan pekerja, moral tenaga kerja, produktiviti dan daya saing," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut beliau, banyak majikan telah mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengurangkan tuntutan perubatan dengan memastikan kesihatan pekerja berada pada tahap yang baik, yang akhirnya memastikan kos insurans kekal stabil.
Sebagai contoh, hampir separuh daripada majikan sektor swasta di Malaysia menyediakan susunan kerja fleksibel, membolehkan pekerja mengawal jadual mereka dan meningkatkan keseimbangan kerja-kehidupan.
Syed Hussain berkata, kos kesihatan isi rumah di Malaysia merangkumi kira-kira 34% daripada perbelanjaan, lebih tinggi berbanding Singapura (30.1%) dan negara-negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) (13.9%) pada 2019.
"Angka-angka ini mencerminkan permintaan terhadap penjagaan kesihatan swasta berbanding sektor kesihatan awam yang sesak, yang mendorong keperluan memiliki insurans kesihatan swasta (PHI) walaupun kadar penembusannya di Malaysia masih rendah," ujarnya.
Berdasarkan data dari Kajian Morbiditi Kesihatan Negara 2019, sejumlah 14.3% daripada populasi Malaysia memiliki PHI yang dibeli secara individu dan 14.6% memiliki insurans kesihatan yang ditaja majikan, dengan yang lain memegang kedua-dua jenis insurans kesihatan (7.3%), manakala 63.7% populasi masih tidak mempunyai perlindungan insurans.
MEF mengulangi bahawa insurans perubatan perlu dijadikan lebih mampu milik agar kedua-dua pekerja dan majikan digalakkan untuk mengambil perlindungan insurans. - DagangNews.com