Projek pemuliharaan RM11.5 juta Pasar Lama Taiping siap sepenuhnya, jadi ikon warisan negeri Perak | DagangNews Skip to main content

Projek pemuliharaan RM11.5 juta Pasar Lama Taiping siap sepenuhnya, jadi ikon warisan negeri Perak

Pasar Lama Taiping dipulihara sebagai Pasar Warisan Negara.
Oleh Zaki Salleh

TAIPING 21 Nov - Pasar Lama Taiping yang berusia 140 tahun bakal menjadi salah satu ikon warisan negeri Perak setelah kerja-kerja pemuliharaannya siap dan dibuka semula kepada pengunjung. 

 

Dibina pada tahun 1884, pasar ini merupakan salah satu pasar tertua di Malaysia dan menjadi saksi perkembangan bandar Taiping. 

 

Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada tahun lalu meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM11.5 juta bagi membangunkan Pasar Taiping sebagai Pasar Warisan Negara.

 

 

Menerusi projek itu, pasar tersebut dibina semula dengan mengekalkan ciri warisannya termasuk struktur, reka bentuk dan warnanya.

 

Perak

 

Perak

 

Sejarah Pasar Lama Taiping atau dikenali juga sebagai pasar basah dan kering ini letaknya di kawasan membeli-belah di tengah bandar. 

 

Setiausaha Persatuan Warisan Perak, Nor Hisham Zulkiflee berkata, terdapat dua pasar utama yang dibina secara berasingan dan dipisahkan oleh Jalan Kota yang sibuk. 

 

Katanya, Oude Market dibina pada tahun 1884 dan Nieuwe Market pada tahun 1885. 

 

“Kepesatan bandar Taiping menyaksikan pasar diperlukan untuk menyediakan kemudahan asas kepada penduduk.

 

“Pada mulanya terdapat sebuah pancuran besi di depan pasar, tetapi digantikan oleh menara loceng konkrit sederhana. 

 

“Kedua-dua bangunan ini dibina dengan tiang kayu, papan konkrit dan atap besi,” ujarnya.

 

Perak
                                 Nor Hisham Zulkiflee

 

 

Perak
Keadaan Pasar Lama Taiping sebelum dipulihara.

 

Kata Nor Hisham, atap pasar yang tinggi memastikan udara dan cahaya melewati tanpa halangan. 

 

“Pasar ini memiliki dua fungsi yang berbeda, satu sebagai pasar kering dan yang lain sebagai pasar basah. 

 

“Pada ketika itu, pasar-pasar ini dipenuhi dengan sayur-sayuran segar, ikan dan daging bagi mengisi keperluan masyarakat setempat,” ujarnya.

 

Difahamkan majlis perasmian semula pembukaan pasar ini bakal diadakan dalam sedikit masa lagi. - DagangNews.com