Prospek pertumbuhan pendapatan CCK diyakini positif, didorong pengembangan operasi di Indonesia - PublicInvest | DagangNews Skip to main content

Prospek pertumbuhan pendapatan CCK diyakini positif, didorong pengembangan operasi di Indonesia - PublicInvest

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Jan - Public Investment Bank Bhd (PublicInvest) positif terhadap prospek pertumbuhan pendapatan CCK Consolidated Holdings Bhd didorong pengembangan operasi kumpulan di Indonesia.

 

Katanya, kumpulan itu merancang meningkatkan kapasiti pemprosesan makanan Indonesia sebanyak tiga kali ganda kepada 30,000 tan setahun. Pengembangan ini dijangka dimulakan pada suku keempat 2025.

 

Difahamkan kumpulan itu memperuntukkan RM80 juta (dibiayai sepenuhnya oleh hasil daripada langganan saham baharu Creador PT Adilmart) untuk membina kilang pengeluaran baharu bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk produk makanan proses (seperti sosej, bebola daging dan burger) di Indonesia.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kilang itu terletak di Boyolali, Jawa Tengah, secara strategik lebih dekat dengan sumber bahan mentah utama, yang seharusnya memberikan kecekapan operasi yang lebih baik dan mengukuhkan lagi kelebihan daya saing kumpulan itu.

 

Katanya, peningkatan kapasiti ini bukan sahaja akan menyokong permintaan yang semakin meningkat untuk produk makanan yang diproses, ia juga akan membolehkan kumpulan itu meluaskan jejak jualannya.

 

"Kumpulan itu merancang meluaskan saluran pengedarannya sambil meningkatkan penembusan pasarannya dengan berkembang ke bandar utama seperti Medan dan Surabaya.

 

"Memandangkan kemudahan itu dijangka pulang modal pada kadar penggunaan 30% hingga 40%, kami tidak menjangkakan sumbangan yang ketara sehingga FY27," katanya dalam satu nota kajian.

 

Terdahulu, hasil kumulatif 9MFY24 meningkat sebanyak 7% kepada RM792 juta, didorong prestasi lebih baik daripada segmen runcit.

 

Sementara itu, keuntungan bersih teras 9MFY24 meningkat 25% YoY kepada RM64 juta, mencerminkan kecekapan operasi yang dipertingkatkan ditambah dengan kos input suapan yang lebih rendah.

 

Sementara itu, PublicInvest percaya, operasi runcit kumpulan itu di Malaysia berada pada kedudukan baik bagi mendapat manfaat daripada peningkatan dalam pendapatan boleh guna kerana kenaikan gaji minimum seharusnya bertindak sebagai pendorong kepada perbelanjaan pengguna.

 

Katanya, apabila gaji minimum dinaikkan kepada RM1,500 pada Mei 2022, segmen runcit CCK mencatatkan pertumbuhan hasil sebanyak 7% pada 2023.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "outperform" dengan harga sasaran (TP) RM1.75 sesaham. - DagangNews.com