Raya Airways lancar penerbangan sulung kargo laluan Pulau Pinang-Hong Kong bermula 28 Oktober 2024 | DagangNews Skip to main content

Raya Airways lancar penerbangan sulung kargo laluan Pulau Pinang-Hong Kong bermula 28 Oktober 2024

Gambar/ Instagram Raya Airways
Oleh Shamsiah Zulkafli

GEORGETOWN 4 Nov - Syarikat penerbangan kargo, Raya Airways Sdn. Bhd. (Raya), mengumumkan pengenalan laluan baharu antara Pulau Pinang dan Hong Kong SAR dengan penerbangan sulung pada 28 Oktober 2024 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. 

 

Laluan itu yang merupakan sebahagian daripada rangkaian penerbangan Asia Pasifik dikendalikan oleh Raya melalui perkhidmatan penerbangan tidak berjadual (charter), dikendalikan dengan lima penerbangan setiap minggu. 

 

Selain laluan Pulau Pinang-Hong Kong, Raya juga mengendalikan perkhidmatan penerbangan tidak berjadual antara Kuala Lumpur dan Hong Kong SAR serta Kuala Lumpur dan Singapura untuk DHL.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Raya, Mohamad Najib Ishak berkata, pihaknya berbesar hati kerana diberikan kepercayaan oleh DHL dalam menyokong rangkaiannya yang semakin berkembang, sekali gus mengukuhkan kedudukan mereka sebagai peneraju pasaran. 

 

"Sepanjang 14 tahun kerjasama antara kedua-dua pihak, Raya telah membangunkan infrastruktur operasi yang kukuh untuk menyokong model perniagaan dengan jangka masa tetap yang ditentukan oleh DHL. 

 

"Selain itu, kami juga gembira kerana diberi peluang untuk menyokong pertumbuhan Pulau Pinang sebagai hab kargo udara utama, berikutan kewujudan industri berskala besar dan bertaraf tinggi di negeri ini," katanya dalam satu kenyataan. 

 

Beliau pada masa sama turut berterima kasih kepada Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) kerana tanpanya, laluan Pulau Pinang-Hong Kong tidak akan dapat direalisasikan. 

 

"Sekalung penghargaan kepada pasukan MAHB di bawah pimpinan Pengarah Urusan, Dato' Mohd Izani Ghani,” tambahnya. - DagangNews.com