Rumitnya beli senjata AS, kebenaran Kongres tentukan Hornet terpakai Kuwait jadi milik TUDM | DagangNews Skip to main content

Rumitnya beli senjata AS, kebenaran Kongres tentukan Hornet terpakai Kuwait jadi milik TUDM

Malaysia perlu mendapatkan lampu hijau AS sebelum membeli pesawat terpakai Hornet Kuwait.
Analisis Berita Oleh Zaki Salleh

Hanya lampu hijau daripada Amerika Syarikat (AS) bakal menentukan sama ada hasrat Malaysia untuk membeli pesawat tempur terpakai F/A-18 Hornet Legacy Kuwait boleh diteruskan atau tidak. Itu hanya pesawat terpakai. Pesawat serba baharu lagi 1,000 kerumitan.

 

Walaupun pesawat-pesawat berusia lebih 25 tahun ini masih mengekalkan teknologi Hornet era 70an, namun tidak semudah itu untuk Kuwait menjualnya kepada mana-mana negara.

 

Sebagai bakal pembeli pula, Malaysia akan tertakluk dengan polisi sama sehinggalah pesawat-pesawat Hornet tersebut dibersarakan nanti.

 

 

Selepas lawatan ke Kuwait, Menteri Pertahanan dikatakan akan ke AS bagi menyampaikan hasrat membeli Hornet terpakai Kuwait.

 

Pesawat
Menteri Pertahanan, Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin diberikan penerangan semasa meninjau keadaan pesawat Hornet Kuwait. 
​​​​​​

 

Polisi yang ditetapkan oleh Rumah Putih ini antara kekangan yang perlu dihadapi oleh semua pengguna kelengkapan pertahanan buatan negara tersebut.

 

Mengikut polisi, Kongres AS perlu dimaklumkan terlebih dahulu tentang mana-mana permohonan negara untuk membeli kelengkapan buatan AS termasuklah penjualan aset terpakai.

 

Penjualan senjata dan perdagangan pertahanan merupakan sebahagian dasar luar negara AS.

 

Atas sebab ini, AS mengambil kira keadaan politik, ketenteraan, ekonomi, kawalan senjata, dan hak asasi manusia dalam membuat keputusan.

 

Jika diluluskan Kongres AS, Hornet terpakai Kuwait ini menjadi aset udara kelima buatan AS dibeli Malaysia selepas helikopter Sikorsky Nuri, pesawat F-5E Tiger II, A4-Skyhawk PTM dan helikopter MD-530G.

 

Pesawat

 

Pesawat
Kuwait mempunyai lebih 30 pesawat Hornet varian C dan D yang berusia lebih 20 tahun.

 

Pada tahun 1982, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesahkan pembelian 80 buah kerangka A-4C dan A-4L yang sebelumnya digunakan oleh Tentera Laut Amerika Syarikat.

 

Ini adalah sebahagian daripada program pembesaran 'Perista' Angkatan Tentera Malaysia yang mahukan TUDM mempunyai skuadron pesawat pengebom yang besar.

 

Bagaimana pun, Malaysia hanya menerima 40 buah pesawat ini yang kemudian dinaik taraf dengan beberapa instrumen baharu dengan kos AS$200 juta.

 

Difahamkan pembelian 40 pesawat lagi tidak diteruskan kerana pentadbiran Presiden Ronald Reagan ketika itu mahu mengenakan sekatan ke atas Malaysia dengan menaikkan kos A4-Skyhawk sehingga 15 peratus.

 

Pesawat
Pesawat Hornet Kuwait dan Eurofighter Typhoon.

 

Sebelum membeli A4-Skyhawk, Malaysia dikatakan berminat untuk mendapatkan pesawat terpakai yang lebih baik iaitu A7-Corsair dan F-4 Phantom tetapi tidak berhasil.

 

Sebagai pengguna pesawat F/A-18D Hornet, TUDM juga tertakluk kepada kebenaran AS untuk melaksanakan program pemodenan pesawat termasuk membeli kelengkapan baharu.

 

Pada Mei lalu, Jabatan Negara AS mengumumkan penjualan 10 unit Sniper Advanced Targeting Pod (ATP) kepada TUDM bernilai AS$80 juta.

 

Kelulusan telah diberikan berikutan permintaan kerajaan Malaysia.

 

Pesawat

 

Pesawat
Juruterbang TUDM bersama jurulatih dan pesawat A4-Skyhawk.

 

Cadangan penjualan itu meliputi data-data teknikal dan publikasi, latihan, peralatan latihan dan perisian, elemen-elemen logistik dan program bantuan.

 

Defense Security Cooperation Agency (DSCA), sebuah agensi di bawah Jabatan Pertahanan AS yang meluluskan penjualan itu di bawah Foreign Military Sales (FMS) tetapi perlu memaklumkan kepada kongres negara itu tentang cadangan penjualan.

 

Proses jualan FMS bermula apabila sesebuah negara menyerahkan Surat Permintaan (LOR) rasmi. 

 

Ini termasuk kedua-dua keupayaan ketenteraan yang diingini dan anggaran kasar tentang jumlah yang dapat dibelanjakan oleh rakan kongsi.  

 

Pesawat
Pesawat F-5E TUDM.

 

Jualan diluluskan selepas semakan kerajaan AS selepas pemberitahuan kepada Kongres. 

 

Selepas jualan diluluskan, DSCA mengeluarkan Surat Tawaran dan Penerimaan (LOA) yang menyatakan artikel pertahanan, latihan dan sokongan yang ditawarkan untuk penghantaran.  

 

Dalam hal ini, negara jiran Singapura dan Thailand berdepan dengan situasi berbeza.

 

Washington pada Januari 2022 bersetuju meneruskan penjualan sehingga 12 buah pesawat pejuang F-35B kepada Singapura sementara menunggu kelulusan Kongres negara itu.

 

Permohonan Singapura sebelum ini untuk membeli 4 pesawat terbabit dengan pilihan membeli 8 buah lagi dengan anggaran harga AS2.75 bilion telah diluluskan Jabatan Negara AS dan Kongres telah dimaklumkan mengenainya.

 

Pesawat
Pesawat F-35B.

 

Singapura dilihat sebagai rakan strategik AS yang mana kerjasama keselamatan keduanya penting demi kestabilan politik dan pembangunan ekonomi di rantau Asia Pasifik.

 

Sebaliknya, AS enggan menjual pesawat F-35 kepada Thailand dengan alasan isu latihan dan keperluan teknikal.

 

Thailand memohon membeli 8 pesawat F-35A Lockheed Martin, namun penjualan pesawat pejuang generasi kelima itu tertakluk kepada pelbagai syarat menyebabkan AS tidak dapat menawarkan penjualan itu.

 

Kesukaran dan kekangan yang dikenakan AS ini menyebabkan banyak negara serantau melihat Rusia sebagai sumber peralatan pertahanan yang bernilai.

 

Rusia boleh menyediakan rangkaian lengkap peralatan ketenteraan daripada pesawat pejuang dan kapal selam canggih berteknologi tinggi sehingga kepada kenderaan dan senjata kecil. 

 

Pesawat
Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan semasa melakukan kunjungan ke Washington bulan lalu.
 

 

Pesawat
Delegasi Panglima TUDM semasa melihat pesawat F22 Raptor di Amerika Syarikat.
 

 

Sistem pertahanan Rusia pula lebih murah selain setara dengan AS. Moscow selalunya bersedia menerima pembayaran menggunakan pilihan mata wang dan perdagangan tukar barang, termasuk komoditi.

 

Berbeza seperti AS dan Eropah, Rusia tidak membuat jualan pertahanan bergantung pada rekod hak asasi manusia negara penerima. Rusia tidak pernah mengenakan sekatan senjata ke atas mana-mana negara anggota ASEAN.

 

Kelompok pembeli utama kelengkapan Rusia di rantau ini ialah pelanggan lama seperti Vietnam, Malaysia, Myanmar, Indonesia dan Laos manakala pelanggan baharu dan berpotensi iaitu Thailand, Filipina dan Kemboja.

 

Pesawat
Pesawat Sukhoi SU-30MKM TUDM.

 

Kini, saingan terbaharu dalam industri pertahanan ialah China. Berbeza dengan Rusia pula, China boleh menawarkan harga dua kali ganda lebih rendah tetapi mempunyai keupayaan hampir sama.

 

China perlahan-lahan mula mengintai pasaran pertahanan di rantau ini. Tanpa mengenakan polisi yang menyekat seperti AS, tidak mustahil China menjadi kuasa industri baharu. - DagangNews.com