Saham EcoBuilt berisiko digantung jika gagal kemukakan laporan tahunan sebelum 7 Januari 2025 | DagangNews Skip to main content

Saham EcoBuilt berisiko digantung jika gagal kemukakan laporan tahunan sebelum 7 Januari 2025

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 31 Dis - Saham EcoBuilt Holdings Bhd (EcoBuilt) mungkin digantung sekiranya syarikat itu gagal mengemukakan laporan tahunan bagi tempoh kewangan yang berakhir pada 31 Ogos 2024 sebelum 7 Januari 2025.

 

Syarikat tersebut memaklumkan, ia tidak dapat memenuhi tarikh akhir asal pada 31 Disember 2024 untuk mengemukakan laporan tahunan yang diaudit bersama dengan laporan daripada juruaudit dan pengarah.

 

Kelewatan itu disebabkan oleh masa tambahan yang diperlukan oleh juruaudit luar untuk menyelesaikan audit penyata kewangan tersebut.

 

"Syarikat sedang bekerja rapat dengan juruaudit luar dan menjangkakan untuk mengemukakan laporan tahunan pada atau sebelum 7 Januari 2025," jelas EcoBuilt dalam satu pemfailan kepada bursa, semalam.

 

Sekiranya syarikat gagal memenuhi tarikh akhir yang dipinda itu, Bursa Securities akan menggantung dagangan saham EcoBuilt bermula 8 Januari 2025.

 

Penggantungan berkenaan akan kekal sehingga laporan tersebut dikemukakan, melainkan ditentukan sebaliknya oleh bursa.

 

Selain itu, jika EcoBuilt gagal mengeluarkan laporan yang diperlukan dalam tempoh enam bulan dari tarikh akhir asal iaitu sebelum 31 Januari 2025, ia boleh berdepan kemungkinan disingkirkan daripada bursa saham. - DagangNews.com