KUALA LUMPUR 5 Nov - Sapura Industrial Berhad (SIB), melalui anak syarikat milik penuhnya, SIB Ventures Sdn Bhd, menandatangani perjanjian dengan Mili Tech Sdn Bhd untuk menjalin usaha sama dan meneroka bidang pengubahsuaian bateri kenderaan elektrik (EV).
Pembentukan perkongsian itu akan memberi tumpuan kepada bidang kritikal yang secara langsung menyokong usaha Malaysia untuk mobiliti mampan termasuk perkhidmatan selepas jualan dan penyelenggaraan untuk perkhidmatan kenderaan elektrik (xEV), pengubahsuaian, pemanfaatan semula dan kitar semula bateri xEV untuk mengurangkan impak alam sekitar serta latihan dan pensijilan untuk meningkatkan kemahiran bakat tempatan bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk kepakaran berkaitan xEV.
Operasi berkenaan dimulakan di Kajang, disusuli tiga pusat perkhidmatan flagship baharu bakal dibuka dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Usaha sama tersebut sejajar dengan wawasan nasional Malaysia yang lebih luas untuk meningkatkan pengunaan EV, seperti yang digariskan dalam Pelan Tindakan Mobiliti Rendah Karbon (2021-2030) dan Dasar Automotif Nasional (NAP 2020), yang menyasarkan untuk meletakkan negara sebagai pusat serantau bagi kenderaan generasi akan datang, dan pada masa yang sama mempromosikan kecekapan sumber dan kemampanan.
Presiden Perniagaan Industri Kumpulan SIB, Fazal Othman Mohd Ghazali berkata, usaha sama itu mengukuhkan komitmen syarikatnya terhadap inovasi dan kelestarian, sambil membantu membina ekosistem yang kukuh untuk xEV di Malaysia.
"Fokus kami terhadap kitar semula bateri dan pembangunan bakat adalah kunci untuk memastikan kejayaan jangka panjang dalam perjalanan elektrifikasi," katanya dalam satu kenyataan.
Ketua Pengarah Eksekutif & Pengasas Mili Tech Sdn Bhd, Mohd Farid bin Abd Manaf pula berkata, Malaysia berada di kemuncak era transformasi mobiliti dan usaha sama tersebut dibuat pada masa yang kritikal di saat negara sedang memacu penerapan teknologi hijau pada skala yang lebih besar.
"Usaha sama kami ini akan meningkatkan lanskap xEV di Malaysia dengan menyediakan perkhidmatan inovatif dan pada masa yang sama menyokong matlamat kemampanan negara yang lebih luas.
"Kerjasama ini juga membolehkan kami menyumbang kepada ekonomi kitar semula yang akan memastikan peralihan kepada pengunaan EV bukan sahaja berjalan secara cekap, tetapi juga turut peka dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar," ujarnya.
Usaha sama terbabit dimetrai tepat pada masa di mana Malaysia sedang memacu usaha untuk mempertingkatkan ekosistem xEV, yang merupakan teras utama dalam matlamat kerajaan untuk mencapai pengunaan sejumlah 15% EV menjelang 2030.
Dengan memanfaatkan kekuatan gabungan Sapura Industrial Berhad dan Mili Tech Sdn Bhd, SB Mili Sdn Bhd kini siap sedia untuk memberikan sumbangan yang ketara terhadap sektor xEv di Malaysia dan agenda kemampanan yang lebih luas. - DagangNews.com